KEPUTUSAN Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),
Datuk Hamidin Mohd Amin untuk tidak merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis
Olimpik Malaysia (MOM) dianggap sebagai satu kejutan buat Datuk Megat
Zulkarnain Omardin.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA)
itu yang dikatakan bakal mencabar kerusi berkenaan berkata, beliau menghormati
keputusan Hamidin yang mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada FAM.
“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sukan,” kata Megat
Zulkarnain. “Secara peribadi, saya terkejut dengan keputusan itu. Beliau
seorang tokoh sukan berkaliber dan banyak berjasa dalam sukan terutamanya bola
sepak.
“Namun saya menghormati keputusan itu memandangkan beliau mahu
memberi tumpuan penuh kepada FAM. Pastinya, tugas selaku presiden FAM adalah
satu tugas besar dan secara peribadi, beliau sememangnya layak apatah lagi saya
sudah lama mengenalinya.”
Dalam laman Facebook rasmi FAM kelmarin, Hamidin menjelaskan
keputusannya kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada badan induk bola sepak
itu sekiranya dinobatkan sebagai presiden FAM yang baru bagi penggal 2018-2021
pada kongres, 14 Julai ini.
Keputusan Hamidin secara tidak langsung bakal menyaksikan
kemungkinan pertandingan satu lawan satu antara Megat Zulkarnain dan juga
Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
“Secara peribadi, saya juga mengenali Datuk Abdul Azim dan saya
menghormatinya,” kata Megat Zulkarnain. “Apapun, ini satu proses demokrasi dan
saya serah kepada persatuan sukan kebangsaan dan perwakilan untuk
menentukannya.
“Biarlah ia berlangsung dalam suasana harmoni dalam sebuah
keluarga sukan yang besar dan apa yang penting semua ingin membawa matlamat
memajukan sukan negara tetapi akhirnya perwakilan menentukannya.”
Proses
pemilihan dijadual berlangsung pada 5 Mei ini manakala tarikh tutup pencalonan
akan tamat Selasa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan