Para
pemain Skuad Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) malam tadi selepas dikecewakan Lubnan 1-2 pada aksi terakhir Kumpulan B
Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports
City, Beirut.
SEPANG - Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, yang diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan kebangsaan menentang Lubnan pada Selasa, menabik rakan-rakan sepasukannya yang mempamerkan aksi cemerlang, walaupun tewas 2-1 kepada pasukan yang berada di kedudukan ke-87 dunia itu.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata, beliau menghormati semangat
berpasukan dan karakter positif yang ditunjukkan oleh para pemain skuad Harimau
Malaya yang menghuni ranking ke-178, selepas hanya dua hari menjalani latihan
bersama.
"Kami memang turun padang dengan hasrat untuk meraih
kemenangan. Sebelum perlawanan mula lagi, dah cakap tiada apa yang
mustahil dan dah tanam keinginan untuk menang, cuma nasib tidak menyebelahi
kami.
"Kami akan meneruskan aksi yang serupa apabila turun melawan
Bhutan pada Ahad ini. Kami tidak boleh berasa selesa selepas aksi Lubnan,
tetapi harus memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan-perlawanan
seterusnya," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA), sejurus tiba dari Beirut, Lubnan malam tadi.
Dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Camille Chamoun Sports
City Stadium di Beirut, Lubnan mendahului melalui ketua pasukannya Hassan
Maatouk yang membolosi gawang Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit
ke-19 selepas pemain pertahanan Malaysia, Matthew Davies melakukan faul
terhadapnya dalam kawasan penalti.
Pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan bagi
Malaysia pada minit ke-72, namun pasukan tuan rumah berjaya mengatasi
Harimau Malaya pada minit akhir masa kecederaan menerusi Hilal El-Helwe. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan