PARA
pemain muda negara memiliki potensi besar untuk menjulang nama Malaysia di
pentas antarabangsa pada masa depan.
KETUA jurulatih
Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji barisan pemainnya biarpun tewas 1-2 kepada
Lebanon dalam aksi terakhir Kumpulan B kelayakan Piala Asia di Beirut malam
kelmarin.
Ini kerana Cheng Hoe menyifatkan beliau
seakan-akan melihat satu sinar baharu dalam pasukan kebangsaan kerana
sebahagian besar pemain yang baru dipanggil telah menunjukkan persembahan
positif ketika menentang Lebanon.
Skuad negara menutup kempen kelayakan Piala
Asia 2019 dengan menduduki tangga tercorot Kumpulan B selepas hanya meraih satu
mata sepanjang enam perlawanan.
Bagaimanapun, Cheng Hoe yang dilantik
menjadi pengganti kepada Nelo Vingada akhir tahun lalu optimis bahawa
pemain-pemain itu memiliki potensi besar untuk menjadi lebih bagus pada masa
akan datang.
“Selepas dikumpul dua tiga hari dalam sesi
latihan, saya fikir pemain-pemain telah melakukan tugasan terbaik. Saya mahu
memuji dan beri kredit kepada pemain-pemain kerana mereka bermain baik ketika
bertemu pasukan lebih bagus.
“Saya berharap perlawanan ini akan menjadi
suatu pengajaran serta pembelajaran berguna buat mereka. Pada masa sama, saya
berharap mereka akan konsisten untuk masa depan kerana mereka masih muda.
“Saya telah membawa 13 pemain baharu. Kami
hanya berlatih dua atau tiga hari tetapi mereka menunjukkan persembahan baik
dan saya berharap kami dapat meneruskan persembahan itu dan inilah adalah generasi
baharu untuk Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Kosmo! sebelum
ini melaporkan, Cheng Hoe telah membuat keputusan mengejut apabila melepaskan
14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas seri 2-2 menentang Mongolia dalam
aksi pemanas badan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu.
Bagaimanapun, dua daripada 14 pemain
Harimau Selatan itu iaitu Syafiq Ahmad yang menjaringkan gol tunggal skuad
negara ketika menentang Lebanon dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor telah dipanggil
semula.
Sebelum ini, Cheng Hoe telah memanggil
sembilan pemain bagi menggantikan 14 pemain JDT iaitu penyerang PKNP FC,
Shahrel Fikri, Syazwan Zaipol dan Nazirul Naim Che Hasmin (Perak), Nor Hakim
Hassan (Terengganu FC), Jafri Firdaus Chew dan Shahril Shaari (PKNS FC),
Syawal Nordin (Kedah), Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak (Kuala Lumpur) dan R. Kogileswaran
(Pahang).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan