“TUNGGULAH hari Isnin nanti,” kata Setiausaha Agung Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Itu reaksi ringkas yang dilontarkan Hamidin apabila diminta
mengulas mengenai pencalonannya selaku Presiden FAM yang baharu bagi
menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sah melepaskan jawatannya, Ahad
lalu.
Pada masa sama, dia turut menegaskan ini bukan masa yang sesuai
untuk dia mengeluarkan sebarang kenyataan dengan sebarang makluman hanya akan
diberikan selepas selesai Mesyuarat EXCO yang akan berlangsung di Wisma FAM,
Isnin ini.
“Buat masa ini, Tunku Ismail masih lagi Presiden FAM jadi saya
rasa tidak elok untuk saya mengulas mengenai pencalonan itu. Kita tunggu hari
Isnin nanti.
“Sama ada peletakan jawatan Tunku Ismail diterima ataupun
ditolak, kita tunggu bagaimana keputusan dalam Mesyuarat EXCO nanti,” katanya
ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM,
Ahad lalu, Tunku Ismail yang juga adalah Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia
(MFL) membuat kejutan apabila mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling
layak menggantikan tempatnya.
Walaupun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail, keputusan sama
ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak, tetap akan
ditentukan menerusi undi ahli gabungan FAM.
Namun, Hamidin dilihat memiliki peluang cerah untuk mencipta
sejarah muncul individu pertama yang bukan daripada golongan kerabat diraja
atau ahli politik menerajui badan induk itu selepas mendapat sokongan beberapa
individu dan juga persatuan.
Antara
yang memberikan sokongan kepada Hamidin selaku Presiden FAM adalah bekas Bekas
Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ; Persatuan Jurulatih Bola
Sepak Malaysia (PJBM) dan juga Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia
(PFAM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan