HAMIDIN MOHD AMIN
KUALA LUMPUR:
"Tunggulah hari Isnin nanti," kata Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Itu reaksi ringkas yang
dilontarkan Hamidin apabila diminta mengulas mengenai pencalonannya selaku
Presiden FAM yang baharu bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sah
melepaskan jawatannya, Ahad lalu.
Pada masa sama, dia turut
menegaskan ini bukan masa yang sesuai untuk dia mengeluarkan sebarang kenyataan
dengan sebarang makluman hanya akan diberikan selepas selesai Mesyuarat EXCO
yang akan berlangsung di Wisma FAM, Isnin ini.
"Buat masa ini, Tunku
Ismail masih lagi Presiden FAM jadi saya rasa tidak elok untuk saya mengulas
mengenai pencalonan itu. Kita tunggu hari Isnin nanti.
"Sama ada peletakan jawatan
Tunku Ismail diterima ataupun ditolak, kita tunggu bagaimana keputusan dalam
Mesyuarat EXCO nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Selepas secara rasmi
melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM, Ahad lalu, Tunku Ismail yang juga
adalah Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat kejutan apabila
mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.
Walaupun mendapat sokongan
penuh Tunku Ismail, keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi
panas itu atau tidak, tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan FAM.
Namun, Hamidin dilihat
memiliki peluang cerah untuk mencipta sejarah muncul individu pertama yang
bukan daripada golongan kerabat diraja atau ahli politik menerajui badan induk
itu selepas mendapat sokongan beberapa individu dan juga persatuan.
Antara yang memberikan
sokongan kepada Hamidin selaku Presiden FAM adalah bekas Bekas Bendahari FAM,
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ; Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia
(PJBM) dan juga Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan