WINDSOR harap siapa
pun Presiden baru FAM akan terus bekerjasama dengan AFC. -Foto fail
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berharap
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat meneruskan kerjasama dan mengekalkan
hubungan baik dengan badan induk bola sepak Asia itu meskipun berlaku perubahan
dalam tampuk kepimpinannya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata, sudah
menjadi tanggungjawab badan induk itu bagi memastikan setiap ahli gabungannya
sentiasa memiliki hubungan baik antara satu sama lain.
"Presiden FAM akan ditentukan oleh ahli gabungan namun
sesiapa pun yang akan dipilih nanti, AFC mengharapkan presiden baharu itu dapat
terus bekerjasama dengan baik bersama kami demi memajukan bola sepak di Asia.
"Apa sahaja perubahan yang dilakukan selepas ini,
kesinambungan yang sudah terjalin antara AFC dan FAM seharusnya
diteruskan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM
Ahad lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Liga Bolasepak
Malaysia (MFL) membuat kejutan apabila mencadangkan nama Setiausaha Agung FAM,
Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.
Selain menyifatkan Hamidin sebagai calon paling layak, Tunku
Ismail juga mengesyorkan Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi sebagai
pemangku presiden hingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.
Biarpun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail, namun keputusan
sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak tetap
akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan