KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) berharap Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) dapat meneruskan kerjasama dan mengekalkan hubungan baik dengan
badan induk bola sepak Asia itu meskipun berlaku perubahan dalam tampuk
kepimpinannya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata, sudah
menjadi tanggungjawab badan induk itu bagi memastikan setiap ahli gabungannya
sentiasa memiliki hubungan baik antara satu sama lain.
“Presiden FAM akan ditentukan oleh ahli gabungan namun sesiapa
pun yang akan dipilih nanti, AFC mengharapkan presiden baharu itu dapat terus
bekerjasama dengan baik bersama kami demi memajukan bola sepak di Asia.
“Apa sahaja perubahan yang dilakukan selepas ini, kesinambungan
yang sudah terjalin antara AFC dan FAM seharusnya diteruskan,” katanya ketika
dihubungi hari ini.
Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM
Ahad lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi Liga Bolasepak
Malaysia (MFL) membuat kejutan apabila mencadangkan nama Setiausaha Agung FAM,
Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.
Selain menyifatkan Hamidin sebagai calon paling layak, Tunku
Ismail juga mengesyorkan Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi sebagai
pemangku presiden hingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.
Biarpun
mendapat sokongan penuh Tunku Ismail, namun keputusan sama ada Hamidin terpilih
untuk berada di kerusi panas itu atau tidak tetap akan ditentukan menerusi undi
ahli gabungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan