CHENG Hoe tak panggil
pemain lain guna yang ada. -Foto fail
KUALA LUMPUR: Skuad
kebangsaan yang memperaga aksi lebih kemas ketika bertemu Lubnan mendapat
'ganjaran' apabila semua 23 pemain yang dipanggil akan terus kekal untuk
mengharungi persiapan bertemu Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Perkembangan itu
dimaklumkan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang mengakui dia tidak
merancang untuk memanggil mana-mana pemain baharu bagi aksi persahabatan
bertemu pasukan ke-188 dunia dengan dia hanya akan menggunakan pemain yang
sedia ada ketika ini.
"Setakat ini, kita
berdepan kekangan masa yang singkat untuk aksi bertemu Bhutan jadi saya tidak
akan memanggil mana-mana pemain memandangkan barisan kejurulatihan berpuas hati
dengan apa yang ditunjukkan oleh barisan pemain.
"Kita juga perlu
memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi menentang Lubnan dan
berkemungkinan mereka akan diturunkan untuk perlawanan bertemu Bhutan. Tetapi
kita perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai tahap kecergasan dan kecederaan
setiap pemain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
"Walaupun baru pulang
dari Lubnan, tetapi kita tidak akan berehat kerana esok (hari ini) kita akan
kembali menjalani latihan ringan memandangkan aksi persahabatan ini adalah begitu
penting," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) malam tadi.
Pada aksi terakhir
Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports
City, Beirut, kelmarin, 'barisan kedua' Malaysia nyaris merentap ego Lubnan
sebelum tewas 2-1 menerusi jaringan minit akhir perlawanan.
Meskipun tewas, skuad
kebangsaan yang dibarisi 'generasi baharu' itu mempamerkan aksi yang jauh lebih
baik dan memberangsangkan berbanding ketika seri 2-2 bertemu Mongolia di laman
sendiri, minggu lalu.
Mengulas lanjut persiapan
pasukan kebangsaan, bekas jurulatih Kedah ini mahukan anak buahnya supaya
meneruskan momentum yang dilakar ketika menentang Lubnan dalam usaha menuai
kemenangan pertama ke atas Bhutan, Ahad ini.
"Corak permainan
menunjukkan perkembangan yang positif dan saya melihat keyakinan pemain juga
kian meningkat. Jadi saya mengharapkan mereka dapat terus memberikan
persembahan yang konsisten bukan sahaja untuk aksi menentang Bhutan tetapi
untuk aksi antarabangsa yang seterusnya.
"Bagaimanapun, harus
diingat bahawa kita tidak boleh memandang rendah kemampuan Bhutan dan kita
perlu bekerja keras untuk aksi persahabatan ini," katanya.
Berdasarkan ranking
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Bhutan yang menjadikan memanah
sebagai sukan nombor satu negara itu berada satu anak tangga mengatasi Mongolia
(189) yang berjaya mengikat skuad Harimau Malaya 2-2 pada aksi persahabatan di
laman sendiri sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan