NAMA pemilik kelab Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony
Fernandes dan pemilik kelab Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan kembali disebut
sebagai antara individu paling sesuai menjadi presiden baharu Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM).
Ia sekali gus menjadikan tiga individu yang berpotensi bagi
menerajui badan induk berkenaan selepas setiausaha agung, Datuk Hamidin Mohd
Amin.
Nama Hamidin dicadangkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku
Ismail Sultan Ibrahim selepas mengumumkan peletakan jawatannya dari kerusi
nombor satu badan induk itu pada Ahad lalu.
Hamidin ketika ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak
termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyifatkan
beliau sebagai individu paling layak menggantikan TMJ.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi
UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berpendapat Tony dan Vincent juga antara
individu yang mempunyai ciri-ciri diperlukan untuk menerajui FAM.
“Kita perlu bersikap terbuka kerana jawatan itu juga terbuka,
sama ada ahli gabungan nak mengundi atau tidak itu cerita lain. Kalau Hamidin,
dia sememangnya berkelayakan kerana ada pengalaman dalam tadbir urus Persatuan
Bolasepak Selangor dan FAM.
“Tapi ada individu lain yang ada kelayakan seperti Tan Sri Tony.
Beliau juga ada pengalaman dalam bola sepak terutama sebagai pemilik QPR. Semua
orang tahu bagaimana beliau bangkit dari kegagalan di QPR.
“Tan Sri Vincent juga tidak kurang hebat. Selain menjadi pemilik
Cardiff City, dia juga pemilik kelab bola sepak di Amerika Syarikat (Los
Angeles FC), jadi dia juga ada pengetahuan mengenai budaya dalam bola sepak.
“Ketiga-tiganya ada kelebihan masing-masing dan saya fikir
sekarang ini kita hanya perlu mengelak daripada membabitkan kerabat diraja dan
orang politik demi melihat pembaharuan dalam bola sepak,” katanya.
Nama Tony dan Vincent sebelum ini sudah dikaitkan dengan jawatan
nombor satu di FAM selepas peletakan jawatan presiden dahulu, Tengku Abdullah
Sultan Ahmad Shah.
Bagaimanapun
kedua-duanya tidak dicalonkan pada Kongres Ke-53 FAM, Mac tahun lalu yang
menyaksikan TMJ menang tanpa bertanding selepas Khairy dan Tan Sri Annuar Musa
menarik diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan