Muhammad Shahrel Fikri
KUALA LUMPUR 30 Mac - Skuad Harimau Malaya yang
menghuni tangga ke-178 dalam ranking dunia kini mengharungi 12 perlawanan
antarabangsa tanpa sebarang kemenangan sejak kali terakhir menewaskan Kemboja
3-2 dalam
saingan Piala AFF Suzuki 2016.
Tumpuan sudah pasti tertumpu ke arah barisan
anak buah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang diharap mampu menamatkan episod
suram itu apabila melayani kunjungan pasukan ke-188 dunia, Bhutan pada aksi
persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Bagi pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim,
beliau percaya penyerang prolifiknya Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mampu
memberi impak positif terhadap jentera serangan skuad kebangsaan sekiranya
diturunkan pada aksi
tersebut.
Abu Bakar berkata pemain berusia 23 tahun itu
yang sebelum ini hampir menggantung but pada 2015 selepas disahkan mengalami
masalah jantung, memiliki karakter seorang penggempur semula jadi selain mampu
bermain di semua posisi pada bahagian serangan.
"Dia (Muhammad Shahrel) layak menyarung
jersi kebangsaan selepas kerja keras dan keazaman yang ditunjukkan dalam usaha
meningkatkan prestasinya selama ini selain membuktikan dia salah seorang
penyerang tempatan terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini.
"Mungkin dia kurang dari segi pengalaman
beraksi di pentas antarabangsa, tetapi dia seorang pemain yang bijak membaca
peluang serta mudah menyesuaikan diri dalam sesuatu perlawanan," katanya
kepada Bernama hari ini.
Abu Bakar berkata kemampuan menjaringkan gol
melalui tandukan serta kebolehan mengawal bola dengan kedua-dua kakinya
menjadikan beliau seorang penyerang yang istimewa dan kehadirannya dalam skuad
kebangsaan akan memberi lebih banyak pilihan kepada Cheng Hoe.
"Dengan keupayaan menjaringkan gol menerusi
pelbagai cara selain memiliki susuk tubuh seorang penyerang yang digeruni di
tambah dengan kebolehan menggunakan kedua-dua kakinya, saya rasa dia akan
memberi nafas baharu kepada jentera serangan jika diturunkan," katanya.
Untuk rekod, Muhammad Shahrel yang dinobatkan
Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017, sebelum ini
pernah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan oleh bekas ketua
jurulatih Nelo Vingada, namun digugurkan akibat kecederaan.
Beliau dipanggil semula menyertai kem latihan
pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019
menentang Lubnan berkesudahan Malaysia tewas 1-2, namun beliau hanya memanaskan
bangku simpanan pada perlawanan tersebut. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan