TUNKU Mahkota Johor,
Tunku Ismail Sultan Ibrahim memohon maaf selepas gagal menjadi Presiden FAM
selepas gagal memberi kemenangan kepada pasukan negara. - Foto Hairul Anuar
Rahim
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
memohon maaf susulan kemarau kemenangan dihadapi skuad Harimau Malaya sepanjang
beliau menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menerusi satu kenyataan di laman Johor Southern Tigers, beliau
yang melepaskan jawatannya selaku orang nombor satu FAM baru-baru ini turut
mengucapkan selamat maju jaya dan mengakui akan sentiasa memberi sokongan
kepada skuad kebangsaan.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya. Saya juga ingin meminta maaf
kepada pasukan kebangsaan kerana sepanjang saya menjadi Presiden FAM, anda
tidak pernah menang.
"Sekarang saya sudah tiada dan saya harap anda semua akan
menang. Bagaimanapun, doa dan sokongan saya sentiasa bersama jurulatih dan
pemain yang mewakili pasukan kebangsaan," katanya, semalam.
Pada masa sama, Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu
turut melontarkan keyakinan betapa skuad kebangsaan mampu meraih kemenangan
pada masa akan datang.
"Saya yakin satu hari nanti pasti anda semua akan bangkit
dan akan membuat seluruh negara bangga dengan pencapaian pasukan
kebangsaan," katanya.
Selepas tunduk 2-1 di tangan Lubnan pada aksi terakhir
Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut, malam tadi, skuad kebangsaan kendalian Tan
Cheng Hoe terus kempunan untuk meraih kemenangan dalam 12 perlawanan diharungi.
Kali terakhir skuad kebangsaan mencatat kemenangan adalah pada
20 November 2016 ketika mereka membenam Kemboja 3-2 pada saingan Piala AFF di
Yangon, Myanmar.
Bagaimanapun, mereka berpeluang untuk menamatkan kemarau
kemenangan apabila bertemu Bhutan pada satu lagi aksi persahabatan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan