PEMAIN negara, Akram
Mahinan (kanan) mengawal ketat pemain Lubnan pada aksi Kelayakan Piala Asia
2019 di Beirut, kelmarin. - Foto FB Football Association of Malaysia (Official)
devinder@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe
menghamburkan pujian kepada 'generasi baharu' skuad kebangsaan meskipun
dikecewakan gol minit akhir sekali gus tewas 1-2 di tangan Lubnan pada aksi
Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut, malam tadi.
Walaupun kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk
meraih kemenangan dalam 12 perlawanan, namun skuad kebangsaan memperagakan aksi
jauh lebih baik berbanding ketika seri 2-2 dengan Mongolia sekali gus memberi
sinar buat bola sepak negara pada masa akan datang.
Hanya jaringan Hilal El-Helwe pada masa kecederaan menafikan
peluang Malaysia untuk berkongsi satu mata dan menyaksikan skuad negara
menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot menerusi satu mata
selepas melengkapkan enam perlawanan.
Cheng Hoe yang meletakkan kepercayaan kepada Irfan Zakaria dan
Shahrul Saad untuk mengemudi pertahanan tengah mengakui anak buahnya beraksi
dengan baik walaupun ada antaranya dipanggil pada saat akhir susulan
'pengguguran' 12 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Untuk beraksi buat kali pertama selepas hanya berlatih
selama tiga hari, pemain saya memberikan persembahan yang sungguh
mengagumkan," kata Cheng Hoe.
"Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka sudah
memberikan yang terbaik. Kita tahu Lubnan jauh lebih baik berbanding kita. Tapi
inilah generasi baharu skuad kebangsaan."
Lubnan yang menghuni ranking ke-87 dunia dijangka menang mudah
ke atas Malaysia yang menghuni ranking ke-178 dunia selepas mendahului
permainan seawal minit ke-19 menerusi jaringan penalti kapten Hassan Maatouk.
Bagaimanapun, Malaysia yang diterajui Zaquan Adha Radzak
mengejutkan tuan rumah apabila menguasai permainan selepas ketinggalan yang
menyaksikan percubaan Matthew Davies terkena palang.
Syafiq Ahmad meledak gol penyamaan pada minit ke-72, empat minit
selepas dimasukkan selaku pemain gantian untuk gol antarabangsa pertamanya
dalam tiga penampilan.
Bagaimanapun, Malaysia yang dipaksa untuk bertahan akhirnya
tunduk selepas El-Helwe meledak gol kemenangan sekali gus menafikan hasrat
pelawat untuk meraih satu mata.
"Saya harap situasi ini dapat dijadikan pengajaran supaya
kekal fokus sepanjang 90 minit," kata Cheng Hoe selepas Lubnan turut
meledak gol lewat permainan sebelum menang 2-1 pada aksi pertama di Larkin,
tahun lalu.
"Pada masa sama, saya juga mahu pemain kekal konsisten pada
masa akan datang. Mereka masih muda dan memerlukan banyak lagi pendedahan untuk
meraih pengalaman."
Davies dan Mahali Jasuli muncul dua pemain yang dikekalkan
daripada aksi terdahulu dengan Cheng Hoe meletakkan Akhyar Rashid, Akram
Mahinan serta Ariff Farhan Isa dalam kesebelasan utama sebelum turut memberikan
penampilan pertama kepada R Kogileswaran.
Malaysia akan menentang Bhutan, pasukan ranking ke-188 dunia,
bagi satu lagi aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini
dengan misi untuk meraih kemenangan pertama dalam tempoh 16 bulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan