‘ANGIN PERUBAHAN’ membabitkan tampuk kepemimpinan yang dijangka
akan berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat langsung tidak
menggusarkan pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee.
Menurut bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu, dia
melontarkan kepercayaan betapa apa sahaja perubahan yang akan berlaku selepas
ini sama sekali tidak akan menjejaskan perancangan yang sudahpun ditetapkan
untuk skuad muda remaja itu khususnya bagi mengharungi beberapa kejohanan selepas
ini.
“Saya yakin tidak akan ada gangguan di mana semuanya akan
berjalan seperti yang dirancangkan dan tidak akan ada halangan terhadap apa
yang ingin kita lakukan. Sesiapa pun yang memegang jawatan tertinggi selepas
ini sudah tentu akan meneruskan misi kita untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo
2020.
“Jadi mereka harus faham bahawa perancangan sudah dilakukan
khususnya apabila kita bersedia untuk membida hak tuan rumah bagi pusingan
akhir Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Sama ada pengurusan baharu ataupun lama, perancangan sudah
ditetapkan. Pihak pengurusan juga tahu mengenai apa yang perlu kita lakukan
dengan kejohanan yang akan kita hadapi pada masa akan datang,” katanya ketika
ditemui selepas aksi persahabatan antara skuad Bawah 21 tahun (B-21) negara
menentang PJ Rangers di Wisma FAM, semalam.
Pada aksi persahabatan selepas latihan pusat selama 10 hari itu,
skuad B-21 tewas 3-2 di tangan pasukan Liga FAM itu yang menyaksikan mereka
ketinggalan 3-0 sebelum bangkit mengurangkan defisit menerusi jaringan Izzan
Syahmi dan Fadzrul Daniel.
Mengulas lanjut mengenai sebarang kemungkinan mengenai
kedudukannya selepas ini, Kim Swee mengakui dia tidak mahu memikirkan mengenai
perkara itu.
“Jika ada pertukaran yang berlaku, sudah tentu ia hanya membabitkan
peringkat pentadbiran dan bukan di peringkat kejurulatihan,” katanya.
Sebelum ini, Kim Swee yang dilantik selaku pengendali skuad
senior ‘diturunkan pangkat’ kepada jurulatih skuad B-23 selepas Tunku Ismail
Sultan Ibrahim dipilih selaku Presiden FAM yang baharu pada Kongres FAM ke-53,
25 Mac tahun lalu.
Dengan
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kini disebut-sebut bakal mengisi
‘kerusi panas’ itu, timbul persoalan seandainya perkara sama akan turut berlaku
kepada Kim Swee selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan