KUALA LUMPUR: Jika aksi bertemu Lubnan dianggap sebagai uji
bakat untuk melihat kemampuan pemain generasi baharu, maka kelompok itu sudah
membuktikan mereka bersedia untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.
Justeru Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM
Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mengharapkan supaya generasi baharu yang
rata-ratanya pemain muda supaya terus diberi peluang untuk beraksi sekali gus
mematangkan corak permainan mereka.
Malah polisi 70-30 membabitkan 70 peratus pemain muda dan 30
peratus pemain berpengalaman seperti yang dicadangkan olehnya sebelum ini nyata
mampu membuahkan hasil sekiranya ia ‘diadun’ dengan baik menerusi pemilihan
pemain yang tepat.
“Boleh dikatakan Tan Cheng Hoe membuat eksperimen pada aksi
menentang Lubnan dan walaupun tewas, kita dapat menyaksikan beberapa perubahan
yang ditunjukkan pemain berbanding beberapa perlawanan sebelum ini.
“Oleh itu, mereka tidak boleh berhenti setakat di sini dan
mereka seharusnya terus diberi kepercayaan untuk beraksi. Semangat mereka yang
berkobar-kobar akan membuatkan mereka memberikan yang terbaik demi pasukan
negara.
“Pujian juga harus diberikan kepada Cheng Hoe dengan eksperimen
‘berani’ ini. Meskipun tidak menggunakan pemain terbaiknya namun beliau tahu
untuk bekerja dengan sumber yang dimiliki. Ia dibuktikan menerusi persembahan
yang ditunjukkan pemain di tengah padang.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan situasi
sebegini. Pada pandangan saya, Cheng Hoe perlu berani meneruskan polisi 70-30
dengan membawa masuk lebih ramai pemain beraksi di peringkat lebih tinggi
supaya mereka sentiasa bersedia untuk bersama skuad kebangsaan,” katanya ketika
dihubungi hari ini.
Terdahulu, pada aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia
2019 di Beirut malam tadi, Malaysia yang dibarisi ‘skuad kedua’ nyaris
menyentap ego pendahulu Kumpulan B, Lubnan sebelum tewas 1-2 menerusi jaringan
minit akhir perlawanan.
Meskipun tewas, namun anak buah Cheng Hoe boleh mendabik dada
kerana memperagakan corak permainan menyerang yang rancak dan kerap mencemaskan
pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan serangan.
Malah
benteng pertahanan negara yang dibarisi pemain kurang berpengalaman juga wajar
dipuji kerana sering mengekang asakan jentera serangan Lubnan yang dilihat
bergelut untuk memecah masuk ke dalam kawasan penalti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan