PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menghamburkan pujian
kepada ‘generasi baharu’ skuad kebangsaan meskipun dikecewakan gol minit akhir
sekali gus tewas 1-2 di tangan Lubnan pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di
Beirut, malam tadi.
Walaupun kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk
meraih kemenangan dalam 12 perlawanan, namun skuad kebangsaan memperagakan aksi
jauh lebih baik berbanding ketika seri 2-2 dengan Mongolia sekali gus memberi
sinar buat bola sepak negara pada masa akan datang.
Hanya jaringan Hilal El-Helwe pada masa kecederaan menafikan
peluang Malaysia untuk berkongsi satu mata dan menyaksikan skuad negara
menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga tercorot menerusi satu mata
selepas melengkapkan enam perlawanan.
Cheng Hoe yang meletakkan kepercayaan kepada Irfan Zakaria dan
Shahrul Saad untuk mengemudi pertahanan tengah mengakui anak buahnya beraksi
dengan baik walaupun ada antaranya dipanggil pada saat akhir susulan
‘pengguguran’ 12 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Untuk beraksi buat kali pertama selepas hanya berlatih selama
tiga hari, pemain saya memberikan persembahan yang sungguh mengagumkan,” kata
Cheng Hoe.
“Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka sudah
memberikan yang terbaik. Kita tahu Lubnan jauh lebih baik berbanding kita. Tapi
inilah generasi baharu skuad kebangsaan.”
Lubnan yang menghuni ranking ke-87 dunia dijangka menang mudah
ke atas Malaysia yang menghuni ranking ke-178 dunia selepas mendahului
permainan seawal minit ke-19 menerusi jaringan penalti kapten Hassan Maatouk.
Bagaimanapun, Malaysia yang diterajui Zaquan Adha Radzak
mengejutkan tuan rumah apabila menguasai permainan selepas ketinggalan yang
menyaksikan percubaan Matthew Davies terkena palang.
Syafiq Ahmad meledak gol penyamaan pada minit ke-72, empat minit
selepas dimasukkan selaku pemain gantian untuk gol antarabangsa pertamanya
dalam tiga penampilan.
Bagaimanapun, Malaysia yang dipaksa untuk bertahan akhirnya
tunduk selepas El-Helwe meledak gol kemenangan sekali gus menafikan hasrat
pelawat untuk meraih satu mata.
“Saya harap situasi ini dapat dijadikan pengajaran supaya kekal
fokus sepanjang 90 minit,” kata Cheng Hoe selepas Lubnan turut meledak gol
lewat permainan sebelum menang 2-1 pada aksi pertama di Larkin, tahun lalu.
“Pada masa sama, saya juga mahu pemain kekal konsisten pada masa
akan datang. Mereka masih muda dan memerlukan banyak lagi pendedahan untuk
meraih pengalaman.”
Davies dan Mahali Jasuli muncul dua pemain yang dikekalkan
daripada aksi terdahulu dengan Cheng Hoe meletakkan Akhyar Rashid, Akram
Mahinan serta Ariff Farhan Isa dalam kesebelasan utama sebelum turut memberikan
penampilan pertama kepada R Kogileswaran.
Malaysia
akan menentang Bhutan, pasukan ranking ke-188 dunia, bagi satu lagi aksi
persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini dengan misi untuk
meraih kemenangan pertama dalam tempoh 16 bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan