PENYOKONG Harimau Malaysia sentiasa memberi sokongan padu ketika aksi perlawanan persahabatan. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
zulfaizan@nstp.com.my
KELANA JAYA: Malaysia tidak
mempunyai alasan lagi untuk gagal menamatkan badi tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan
apabila berdepan pasukan separuh profesional, Bhutan pada aksi persahabatan di
Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Apa tidaknya, skuad
kendalian Trevor James Morgan dianggap lawan yang mudah dengan mereka hanya
menghuni kedudukan ke-188 dunia - 10 anak tangga di belakang Harimau Malaya.
Malah, Bhutan turut
dianggap sebagai pasukan belasahan selepas pernah merekodkan kekalahan besar
termasuk tewas 0-10 kepada Palestin dan terbaru dimalukan oleh Maldives 7-0
pada aksi kelayakan Piala Asia, Selasa lalu.
Bagi penjaga gol
berpengalaman Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, kemenangan pada perlawanan
esok amat penting untuk anak buah Tan Cheng Hoe bangkit daripada rentetan
prestasi buruk sebelum ini.
"Seperti yang
jurulatih katakan, kami sangat perlukan kemenangan. Jadi kami perlu fokus
sepenuhnya. Saya harap perlawanan esok akan menjadi titik permulaan untuk skuad
kebangsaan meraih keputusan positif selepas ini.
"Apapun, kami perlu
perbaiki segala kelemahan ketika berdepan Lubnan (pada Selasa lalu). Stadium
Nasional Bukit Jalil sememangnya mempunyai kenangan yang baik buat skuad
kebangsaan termasuk ketika menjuarai Piala AFF Suzuki 2010," katanya pada
sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.
Skuad Harimau Malaya melepaskan
peluang keemasan untuk menamatkan badi tanpa kemenangan apabila diikat 2-2 oleh
pasukan tangga ke-189 dunia, Mongolia pada aksi persahabatan di gelanggang
sama, pada 22 Mac lalu.
Nasib terus tidak
menyebelahi anak buah Cheng Hoe apabila tewas 1-2 kepada Lubnan hasil jaringan
saat akhir Hilal El-Helwe, biarpun persembahan baik dipamerkan mereka.
Malah, jika persembahan
sama dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya berdepan Bhutan esok, tidak
mustahil misi menamatkan kemarau kemenangan dapat direalisasikan selepas kali
terakhir merasai nikmat kemenangan ketika menumpaskan Kemboja 3-2 di saingan
Piala AFF Suzuki pada 20 November lalu.
© New Straits Times Press
(M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan