MALAYSIA tidak mempunyai alasan lagi untuk gagal menamatkan badi
tanpa kemenangan dalam 12 perlawanan apabila berdepan pasukan separuh
profesional, Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil,
esok.
Apa tidaknya, skuad kendalian Trevor James Morgan dianggap lawan
yang mudah dengan mereka hanya menghuni kedudukan ke-188 dunia - 10 anak tangga
di belakang Harimau Malaya.
Malah, Bhutan turut dianggap sebagai pasukan belasahan selepas
pernah merekodkan kekalahan besar termasuk tewas 0-10 kepada Palestin dan
terbaru dimalukan oleh Maldives 7-0 pada aksi kelayakan Piala Asia, Selasa
lalu.
Bagi penjaga gol berpengalaman Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che
Mat, kemenangan pada perlawanan esok amat penting untuk anak buah Tan Cheng Hoe
bangkit daripada rentetan prestasi buruk sebelum ini.
“Seperti yang jurulatih katakan, kami sangat perlukan
kemenangan. Jadi kami perlu fokus sepenuhnya. Saya harap perlawanan esok akan
menjadi titik permulaan untuk skuad kebangsaan meraih keputusan positif selepas
ini.
“Apapun, kami perlu perbaiki segala kelemahan ketika berdepan
Lubnan (pada Selasa lalu). Stadium Nasional Bukit Jalil sememangnya mempunyai
kenangan yang baik buat skuad kebangsaan termasuk ketika menjuarai Piala AFF
Suzuki 2010,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), di sini, hari ini.
Skuad Harimau Malaya melepaskan peluang keemasan untuk
menamatkan badi tanpa kemenangan apabila diikat 2-2 oleh pasukan tangga ke-189
dunia, Mongolia pada aksi persahabatan di gelanggang sama, pada 22 Mac lalu.
Nasib terus tidak menyebelahi anak buah Cheng Hoe apabila tewas
1-2 kepada Lubnan hasil jaringan saat akhir Hilal El-Helwe, biarpun persembahan
baik dipamerkan mereka.
Malah,
jika persembahan sama dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya berdepan Bhutan
esok, tidak mustahil misi menamatkan kemarau kemenangan dapat direalisasikan
selepas kali terakhir merasai nikmat kemenangan ketika menumpaskan Kemboja 3-2
di saingan Piala AFF Suzuki pada 20 November lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan