SUBAHAN (kiri) beri
sokongan penuh kepada Hamidin. -Foto BERNAMA
aziman@nstp.com.my
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), Datuk Seri Subahan Kamal tampil memberi sokongan penuh kepada Datuk
Hamidin Mohd Amin untuk menerajui badan induk itu dengan menyifatkan setiausaha
agung itu produk Selangor.
Beliau berkata, Hamidin yang pernah berkhidmat sebagai
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dari 1998 hingga 2013
adalah calon terbaik untuk mengisi kerusi Presiden FAM yang ditinggalkan oleh
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Saya sebagai Presiden FAS, memang percaya Hamidin adalah
calon terbaik. Ia satu penghormatan apabila TMJ memilih Hamidin sebagai
pengganti. Beliau tahu selok belok bola sepak Malaysia, tak ada orang lain
selain Hamidin," jelas Subahan pada sidang media selepas Mesyuarat Khas
Pertama Exco FAM hari ini.
Kenyataan Subahan itu jelas menutup segala spekulasi kemungkinan
beliau turut berminat untuk menggantikan Tunku Ismail yang membuat keputusan
meletakkan jawatan, genap setahun menerajui FAM pada 25 Mac lalu.
Malah Subahan yang meraih undi tertinggi iaitu 37 untuk
memenangi kerusi Timbalan Presiden FAM pada pemilihan tahun lalu bersikap
profesional dengan memberi laluan kepada seorang lagi timbalan presiden, Datuk
Yusoff Mahadi untuk menjadi pemangku presiden sebaik ahli Exco badan induk itu
menerima peletakan jawatan TMJ hari ini.
"Tahniah kepada Yusoff, saya sebagai timbalan presiden dan
Presiden Persatuan Bolasepak Selangor memang menyokong penuh beliau menjadi
pemangku presiden sehingga pemilihan pada Kongres FAM 14 Julai ini.
"Ini kerana beliau lebih layak walaupun ada yang menyatakan
sepatutnya, itu... dan ini... (Subahan dipilih) tapi sebenarnya tak timbul
masalah.
"Saya sendiri pun kalau diberi peluang tak sanggup kerana
selaku Presiden Persatuan Hoki Malaysia juga ada tanggung jawab lain yang perlu
saya galas dan bagi saya yang penting adalah muafakat, bukannya jawatan,"
katanya.
Pencalonan bagi pemilihan presiden baru FAM dibuka secara rasmi
hari ini sehingga tarikh tutup pada 11 Mei sebelum pelantikan dibuat pada
Kongres FAM, 14 Julai depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan