HARIMAU Malaya
meraikan kejayaan mereka selepas berjaya menundukan Bhutan dengan jaringan 7-0
pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Antarabangsa di Stadium Nasional Bukit
Jalil. -Foto BERNAMA
zulfaizan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Kemenangan
besar 7-0 yang diraih skuad kebangsaan pada aksi persahabatan menentang Bhutan
di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi menjadi hadiah perpisahan paling
bermakna buat bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail
Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail sah meninggalkan
kerusi nombor satu FAM, hari ini selepas mesyuarat khas Exco badan induk itu
menerima peletakan jawatan yang dikemukakan beliau pada 25 Mac lalu.
Malah, jurulatih skuad
kebangsaan, Tan Cheng Hoe mendedikasikan kemenangan itu kepada Tunku Ismail yang
selama ini memberi sokongan penuh kepada Harimau Malaya.
"Satu pujian harus
diberikan kepada barisan pemain dan jurulatih atas kemenangan ini. Kami memang
dahagakan kemenangan dan kita boleh lihat pemain berjuang habis-habisan sejak
minit pertama hingga tamat perlawanan.
"Tahniah kepada semua
kerana tamatkan badi 12 perlawanan tanpa menang dan kemenangan ini juga satu
hadiah buat Tunku Ismail kerana sentiasa memberi sokongan kepada pasukan
kebangsaan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Selain sokongan itu, Tunku
Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut memberikan bonus kepada
pemain atas kejayaan menyumbang kemenangan pertama sejak November 2016.
Perkara itu disahkan
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan di Facebook
rasmi badan induk itu, namun tidak dinyatakan berapa jumlah bonus berkenaan.
"Junjung kasih di atas
kesudian Tunku Ismail menganugerahkan bonus kepada barisan pemain selepas
berjaya meraih kemenangan ini," kata Hamidin.
Kali terakhir Harimau Malaya
meraih kemenangan pada 20 November 2016 ketika menewaskan Kemboja 3-2
dalam saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar dan kemenangan ke atas Bhutan
itu juga adalah yang pertama diraih Tunku Ismail selepas dipilih sebagai
Presiden FAM pada Mac tahun lalu.
Biarpun gembira dengan
kemenangan yang diraih anak buahnya, Cheng Hoe bagaimanapun tetap mengakui
masih banyak yang perlu diperbaiki untuk mereka menghadapi perlawanan akan
datang, terutama dalam Piala AFF Suzuki hujung tahun ini.
"Kami masih perlu memperbaiki
beberapa kelemahan termasuk menajamkan lagi penyudah dan memperkemaskan benteng
pertahanan kerana kami perlu juga perlawanan menentang pasukan yang lebih kuat
selepas ini.
"Buat sementara waktu,
kami akan meneruskan pemantauan bagi menilai sama ada akan mengekalkan pemain
sekarang atau memanggil pemain lain bagi memperkuatkan pasukan kerana dan akan
mengatur perlawanan persahabatan pada Julai nanti," katanya.
© New Straits Times Press
(M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan