KEPUTUSAN semua Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi
sokongan padu kepada Datuk Hamidin Mohd Amin untuk bertanding jawatan presiden
membuktikan tiada sebarang perebutan kuasa dalam badan induk itu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi menegaskan Hamidin
yang juga setiausaha agung bukan sahaja mendapat sokongannya tetapi juga
daripada seorang lagi timbalan presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.
Malah Yusoff yang dipilih sebagai pemangku presiden selepas
Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM hari ini berharap agar tiada pihak cuba untuk
menimbulkan kekecohan dalam peralihan kuasa pada kongres yang dijadualkan, 14
Julai depan.
“Saya berharap dengan keputusan sebulat suara daripada semua
ahli Exco tadi memberi isyarat jelas bahawa kita mahu proses peralihan ini
berjalan lancar tanpa apa-apa kemelut. Mana-mana calon lain (jawatan presiden),
bukan tak boleh bertanding tapi lebih baik fikir mengenai kesan kepada bola
sepak negara.
“Kalau nak difikirkan, Subahan dan saya pun nak (jadi presiden),
kami dah dekat dengan jawatan itu. Tapi kami tolak agenda peribadi bagi
memastikan kita terus fokus kepada agenda pembangunan bola sepak serta
memastikan keharmonian dalam FAM,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat
Khas Exco hari ini.
Yusoff sebelum itu mengumumkan bahawa ahli Exco FAM sebulat
suara menerima peletakan jawatan Presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini
meskipun ia keputusan berat untuk dilakukan.
Sementara menunggu Kongres FAM Julai depan, Yusoff bakal
bertindak sebagai pemangku presiden seperti yang dipersetujui ahli Exco FAM.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dan
pengurus skuad bawah 23 tahun negara itu menyatakan tiada perubahan besar akan
dilakukannya dalam tempoh tiga bulan sebelum kongres.
“Kita
cuma ada lebih kurang tiga bulan, ia tempoh yang agak singkat. Kita cuma
mahukan segala agenda yang ada diteruskan di samping mengekalkan perpaduan
dalam persatuan ini,” kata Yusoff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan