NASIB 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga
Malaysia (Liga M) akan ditentukan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah
Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru, esok.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menjelaskan
bentuk hukuman sama ada dipotong mata atau dikenakan hukuman lebih ringan akan
ditentukan pada mesyuarat berkenaan yang bakal dipengerusikan Tunku Mahkota
Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Tarikh mesyuarat sudah ada iaitu pada Isnin (esok).
“Ya, kami akan bawa kes itu (pasukan gagal melengkapkan
pendaftaran) untuk dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti.
“Keputusan (bentuk hukuman) juga akan diputuskan pada mesyuarat
yang akan dipengerusikan Tunku Ismail selaku Pengerusi FMLLP,” katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga
Super dan enam dari Liga Perdana gagal melengkapkan pendaftaran pasukan selepas
tarikh akhir menghantar dokumen pada 3 Februari.
Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur tidak
menghantar atau menghantar dokumen tidak betul manakala Selangor dan PKNS FC
menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang diberikan.
Bagi Liga Perdana pula, empat pasukan tidak melengkapkan dokumen
pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.
Sementara itu, dua pasukan menghantar dokumen melepasi tarikh
akhir yang ditetapkan termasuk MIFA dan UKM FC yang menghantar dokumen pada 15
dan 19 Februari.
Malah, FMLLP menjelaskan tarikh akhir untuk pasukan menghantar
dokumen pada 3 Februari adalah tarikh yang sudah dilanjutkan sebanyak dua kali
bagi memberi ruang kepada pasukan terbabit melengkapkan dokumen yang perlukan.
Justeru, pasukan itu berkemungkinan berdepan hukuman berat
termasuk dipotong mata seperti yang dikenakan ke atas empat pasukan musim lalu.
Untuk
rekod, dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan T-Team serta dua dari Liga
Perdana, ATM dan Perlis dipotong enam mata kerana kesalahan sama musim lalu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan