ANGGOTA Pasukan Anti
Rusuhan Awam (PORU) mengiringi pemain JDT keluar daripada kawasan padang
stadium selepas penonton mula membaling objek ke arah padang di Stadium Likas,
semalam. - Foto Khairull Azry Bidin
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim mengakui kecewa terhadap tindakan beberapa pemain Johor Darul Ta'zim
(JDT) yang cuba melengah-lengahkan masa perlawanan ketika aksi pusingan kedua
Piala FA berdepan Sabah di Stadium Likas, semalam.
Malah, tindakan itu juga didakwa menjadi antara faktor
segelintir penyokong tuan rumah mencetuskan sedikit kekecohan, selepas
perlawanan yang menyaksikan JDT menang 2-1 ke atas skuad Sang Badak.
TMJ menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR
Southern Tigers berpendapat, pengadil perlu memberikan kad kepada mana-mana
pemain yang melengah-lengahkan masa perlawanan tanpa mengira pasukan mana yang
diwakili mereka.
"Itu adalah penyakit di Malaysia yang perlu kita tangani
dan hapuskan. Sudah lama kita lihat apabila pasukan yang sedang mendahului,
mereka mesti cuba untuk membuang dan melengahkan masa.
"Saya berharap mentaliti seperti ini tidak perlu ada dalam
bola sepak tanah air ini," kata TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak JDT.
JDT yang juga juara Piala FA 2016 bangkit daripada ketinggalan
satu gol hasil jaringan Gilhoon Lee pada minit ke-23 sebelum Luciano Figueroa
menyamakan kedudukan, tujuh minit selepas bersambung babak kedua.
Gonzalo Cabrera muncul wira JDT apabila jaringannya pada
masa tambahan (minit ke-95) membawa skuad Harimau Selatan ke pusingan
ketiga Piala FA.
Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari dengan sedikit kekecohan
yang menyaksikan segelintir penyokong bertindak membaling objek ke arah pemain
JDT ketika mereka cuba masuk ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.
Selain itu, TMJ tetap mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian
Jelius Ating yang memberikan saingan sengit hingga menyukarkan tugas JDT
sebelum meraih kemenangan.
"Saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan Sabah. Pemain
mereka bermain dengan semangat juang yang baik dan menyukarkan kerja kami untuk
memenangi perlawanan pada malam ini (semalam).
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong
Sabah yang melayan kami dengan baik," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan