TUNKU Mahkota Johor
(TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui kecewa terhadap tindakan beberapa
pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang cuba melengah-lengahkan masa perlawanan
ketika aksi pusingan kedua Piala FA berdepan Sabah di Stadium Likas, semalam.
Malah, tindakan itu
juga didakwa menjadi antara faktor segelintir penyokong tuan rumah mencetuskan
sedikit kekecohan, selepas perlawanan yang menyaksikan JDT menang 2-1 ke atas
skuad Sang Badak.
TMJ menerusi kenyataan
di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers berpendapat, pengadil
perlu memberikan kad kepada mana-mana pemain yang melengah-lengahkan masa
perlawanan tanpa mengira pasukan mana yang diwakili mereka.
“Itu adalah penyakit
di Malaysia yang perlu kita tangani dan hapuskan. Sudah lama kita lihat apabila
pasukan yang sedang mendahului, mereka mesti cuba untuk membuang dan
melengahkan masa.
“Saya berharap
mentaliti seperti ini tidak perlu ada dalam bola sepak tanah air ini,” kata TMJ
yang juga pemilik Kelab Bolasepak JDT.
JDT yang juga juara Piala
FA 2016 bangkit daripada ketinggalan satu gol hasil jaringan Gilhoon Lee pada
minit ke-23 sebelum Luciano Figueroa menyamakan kedudukan, tujuh minit selepas
bersambung babak kedua.
Gonzalo Cabrera muncul
wira JDT apabila jaringannya pada masa tambahan (minit ke-95) membawa
skuad Harimau Selatan ke pusingan ketiga Piala FA.
Bagaimanapun,
perlawanan itu dicemari dengan sedikit kekecohan yang menyaksikan segelintir
penyokong bertindak membaling objek ke arah pemain JDT ketika mereka
cuba masuk ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.
Selain itu, TMJ tetap
mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Jelius Ating yang memberikan saingan
sengit hingga menyukarkan tugas JDT sebelum meraih kemenangan.
“Saya ingin
mengucapkan syabas kepada pasukan Sabah. Pemain mereka bermain dengan semangat
juang yang baik dan menyukarkan kerja kami untuk memenangi perlawanan pada
malam ini (semalam).
“Saya juga ingin
mengucapkan terima kasih kepada penyokong Sabah yang melayan kami dengan baik,”
katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan