TIMBALAN Presiden FAM,
Datuk Yusoff Mahadi jelaskan semua EXCO sudah mendapat penjelasan dari Tunku
Ismail sendiri dalam satu pertemuan pada minggu lalu. - Foto Rasul Azli Samad
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Ahli
Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka
menerima peletakan jawatan presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam
mesyuarat khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok .
Timbalan Presiden FAM,
Datuk Yusoff Mahadi berkata keputusan sebulat suara itu dijangka dibuat kerana
semua EXCO sudah mendapat penjelasan dari Tunku Ismail sendiri dalam satu
pertemuan pada minggu lalu.
"Tunku Ismail sudah
menyatakan hasratnya untuk berundur. Jadi kami perlu menghormati keputusannya
walaupun dengan berat hati.
"Apapun, sebarang
keputusan mengenai perkara ini akan diumumkan secara rasmi selepas selesai
mesyuarat khas esok (Isnin) kerana beberapa agenda akan turut dibincangkan
dalam mesyuarat sama," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 25 Mac lalu, Tunku
Ismail yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melepaskan jawatannya
sebagai Presiden FAM selepas genap setahun menerajui persatuan itu apabila
menang tanpa bertanding pada Kongres FAM tahun lalu.
Beliau yang juga adalah
pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) turut menunjukkan surat peletakan
jawatannya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti
Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru yang berlangsung pada tarikh
sama.
Mengulas lanjut mengenai
beberapa agenda yang bakal dibincangkan, Yusoff menjelaskan mesyuarat terbabit
akan turut akan membincangkan mengenai calon pemangku presiden yang akan
menerajui FAM sehingga kongres seterusnya dan juga calon presiden baharu.
"Walaupun Tunku Ismail
mencadangkan nama saya selaku pemangku presiden namun keputusan masih terletak
di tangan EXCO. Mungkin mereka merasakan ada calon lain yang lebih baik untuk
memikul tanggungjawab itu.
"Mesyuarat juga
dijangka memilih calon untuk jawatan presiden pada kongres yang akan
berlangsung Julai nanti. Semua EXCO memiliki kuasa untuk memilih kecuali
Setiausaha Agung kerana beliau dilantik," katanya.
Selepas secara rasmi
melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail membuat kejutan apabila
mencadangkan nama Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon
paling layak menggantikan tempatnya.
© New Straits Times Press
(M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan