Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Isnin, 2 April 2018

'Jangan paksa TMJ'


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) disaran tidak memaksa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk terus kekal sebagai presiden badan induk itu.
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata barisan kepemimpinan badan induk bola sepak kebangsaan itu perlu menerima hakikat yang mereka perlu melepaskan presiden mereka itu.
Beliau percaya TMJ mempunyai alasan tersendiri untuk meninggalkan FAM biarpun hanya setahun menerajui badan induk berkenaan.
“Kalau beliau (TMJ) tak nak (jawatan presiden), terima saja (peletakan jawatan). Buat apa nak paksa beliau untuk terus kekal, seolah-olah tiada orang lain yang layak menggantikan tempat beliau.
“Saya pun berasakan apa yang beliau sudah sumbangkan kepada FAM dan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini memang bagus, tapi bila beliau sendiri yang nak lepaskan jawatan, kita tidak boleh paksa,” kata Redzuan.
Keputusan sama ada hasrat TMJ yang mengumumkan peletakan jawatan secara rasmi pada 25 Mac lalu diterima atau ditolak akan diputuskan pada mesyuarat khas EXCO FAM, esok.
Selepas mengumumkan peletakan jawatan, TMJ turut mencadangkan timbalannya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi untuk bertindak sebagai pemangku presiden selain mencalonkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai presiden baharu badan induk itu.
Mesyuarat khas EXCO esok juga akan memutuskan sama ada menerima cadangan TMJ untuk melantik Yusoff sebagai pemangku presiden sehingga Kongres FAM Ke-54 pada Julai ini untuk memilih presiden baharu.
Selain itu, Hamidin juga dijangka membuat kenyataan sama ada beliau bersedia atau sebaliknya untuk bertanding bagi merebut kerusi nombor satu FAM selepas namanya dicadangkan TMJ.
Biarpun enggan menyebut nama mana-mana individu, Redzuan bagaimanapun yakin bahawa masih ramai individu yang layak untuk menggantikan TMJ dan membawa perubahan kepada arena bola sepak negara.
“Memang masih ada orang yang layak untuk memikul tugas sebagai presiden. Apapun, ia tetap perlu mengikut perlembagaan FAM yang mana perlu melalui proses pemilihan dengan keputusan ditentukan oleh undi ahli gabungan,” katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan