TUNKU Mahkota Johor,
Tunku Ismail Sultan Ibrahim akui turut gembira di atas kejayaan skuad negara
apabila membelasah Bhutan 7-0. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut gembira dengan
kejayaan skuad Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan, apabila membelasah
Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Menerusi rakaman video disiarkan menerusi akaun Facebook milik
Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Johor Southern Tigers, beliau berkata rekod tidak
pernah menang sejak memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) kini berakhir.
"Tidak kisah lawan Bhutan ker, budak sekolah ker, menang
tetap menang. Sekurang-sekurangnya ada satu kemenangan," katanya yang juga
Tunku Mahkota Johor (TMJ).
"Mesyuarat (khas Jawatankuasa Eksekutif atau EXCO FAM)
esok. Jadi ketika ini, jika berdasarkan rekod, saya masih presiden, esok baru
bukan.
"Satu kemenangan, well done (syabas) Harimau Malaya. Terima
kasih Harimau Malaya,".
Kemenangan 7-0 ke atas Bhutan malam tadi adalah pertama skuad
Harimau Malaya yang kini dikendali Tan Cheng Hoe selepas gagal meraih sebarang
kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir sejak penghujung 2016.
Kali terakhir skuad kebangsaan merasai nikmat kemenangan pada 20
November 2016 selepas menundukkan Kemboja 3-2 pada aksi peringkat kumpulan
Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar.
Mesyuarat khas EXCO FAM pada Isnin, dijadual membincangkan
peletakan jawatan Tunku Ismail sebagai presiden badan induk bola sepak negara
itu yang beliau serahkan secara rasmi pada 25 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan