PEMAIN Lubnan meraikan
kemenangan tipis. FOTO/FOOTBALL LEBANON
KUALA LUMPUR: Malaysia yang dibarisi 'skuad kedua' nyaris
menyentap ego pendahulu Kumpulan B, Lubnan sebelum tewas 1-2 pada aksi terakhir
Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports
City, Beirut, sebentar tadi.
Meskipun tewas, namun skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang
dibarisi ramai muka baharu itu boleh mendabik dada kerana memperagakan corak
permainan menyerang yang rancak dan kerap mencemaskan pertahanan lawan menerusi
beberapa gerakan serangan yang dilancarkan.
Malah, barisan pertahanan
negara yang dibarisi pemain kurang berpengalaman juga wajar diberi pujian
kerana sering mengekang asakan jentera serangan Lubnan yang dilihat bergelut
untuk memecah masuk ke kotak penalti.
Pada aksi terbabit,
Malaysia dihukum seawal minit ke-18 apabila Matthew Davies menjatuhkan kapten
pasukan Lubnan, Hassan Maatouk di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan,
Valentin Kovalenko tidak teragak agak untuk menghadiahkan sepakan penalti
kepada tuan rumah.
Maatouk nyata tidak
berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu menerusi satu
rembatan kencang yang menerjah penjuru kiri gol sekali gus menewaskan Hafizul
Hakim untuk gol pembukaan.
Malaysia cuba mengasak dan
hampir mengejutkan Lubnan apabila satu gerakan pantas menerusi bahagian tengah
berjaya menemui Zaquan Adha Abd Radzak namun percubaannya sedikit tersasar
melewati palang gol pada minit ke-22 sebelum hantaran lintang Davies dikuis
keluar penjaga gol Lubnan, Mehdi Kahlil enam minit berselang.
Babak kedua bersambung,
Lubnan memperkemaskan asakan untuk memburu gol tambahan namun tiada
percubaan dapat dihasilkan dalam tempoh 10 minit pertama separuh masa kedua
sehinggalah gerakan Rabih Ataya menerusi bahagian sayap kanan tetapi cubaannya
terkena palang pada minit ke-58.
Percaturan Cheng Hoe untuk
membawa masuk penyerang Johor Darul Ta'zim, Syafiq Ahmad akhirnya memberi impak
segera selepas penyerang muda itu meledak gol penyamaan sekali gus mengejutkan
Lubnan menerusi tandukan deras hasil sepakan sudut pada minit ke-72 untuk
menjadikan kedudukan 1-1.
Malaysia bernasib baik
selepas jaringan Hilal Al Helwe pada minit ke-84 dibatalkan pengadil selepas
dia dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.
Begitupun, dia menebus kehampaan
selepas meledak gol pada minit keempat masa tambahan untuk gol kemenangan tuan
rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan