MALAYSIA yang dibarisi ‘skuad kedua’ nyaris menyentap ego
pendahulu Kumpulan B, Lubnan sebelum tewas 1-2 pada aksi terakhir Kelayakan
Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City,
Beirut, sebentar tadi.
Meskipun tewas, namun skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang
dibarisi ramai muka baharu itu boleh mendabik dada kerana memperagakan corak
permainan menyerang yang rancak dan kerap mencemaskan pertahanan lawan menerusi
beberapa gerakan serangan yang dilancarkan.
Malah, barisan pertahanan negara yang dibarisi pemain kurang
berpengalaman juga wajar diberi pujian kerana sering mengekang asakan jentera
serangan Lubnan yang dilihat bergelut untuk memecah masuk ke kotak penalti.
Pada aksi terbabit, Malaysia dihukum seawal minit ke-18 apabila
Matthew Davies menjatuhkan kapten pasukan Lubnan, Hassan Maatouk di dalam kotak
penalti dan pengadil perlawanan, Valentin Kovalenko tidak teragak agak untuk
menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Maatouk nyata tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan
sepakan penalti itu menerusi satu rembatan kencang yang menerjah penjuru kiri
gol sekali gus menewaskan Hafizul Hakim untuk gol pembukaan.
Malaysia cuba mengasak dan hampir mengejutkan Lubnan apabila
satu gerakan pantas menerusi bahagian tengah berjaya menemui Zaquan Adha Abd
Radzak namun percubaannya sedikit tersasar melewati palang gol pada minit ke-22
sebelum hantaran lintang Davies dikuis keluar penjaga gol Lubnan, Mehdi Kahlil
enam minit berselang.
Babak kedua bersambung, Lubnan memperkemaskan asakan untuk
memburu gol tambahan namun tiada percubaan dapat dihasilkan dalam tempoh 10
minit pertama separuh masa kedua sehinggalah gerakan Rabih Ataya menerusi
bahagian sayap kanan tetapi cubaannya terkena palang pada minit ke-58.
Percaturan Cheng Hoe untuk membawa masuk penyerang Johor Darul
Ta’zim, Syafiq Ahmad akhirnya memberi impak segera selepas penyerang muda itu
meledak gol penyamaan sekali gus mengejutkan Lubnan menerusi tandukan deras
hasil sepakan sudut pada minit ke-72 untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Malaysia bernasib baik selepas jaringan Hilal Al Helwe pada
minit ke-84 dibatalkan pengadil selepas dia dilihat berada dalam kedudukan
ofsaid.
Begitupun,
dia menebus kehampaan selepas meledak gol pada minit keempat masa tambahan
untuk gol kemenangan tuan rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan