TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri
Subahan Kamal tampil memberi sokongan penuh kepada Datuk Hamidin Mohd Amin
untuk menerajui badan induk itu dengan menyifatkan setiausaha agung itu produk
Selangor.
Beliau berkata, Hamidin yang pernah berkhidmat sebagai
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dari 1998 hingga 2013
adalah calon terbaik untuk mengisi kerusi Presiden FAM yang ditinggalkan oleh
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Saya sebagai Presiden FAS, memang percaya Hamidin adalah calon
terbaik. Ia satu penghormatan apabila TMJ memilih Hamidin sebagai pengganti.
Beliau tahu selok belok bola sepak Malaysia, tak ada orang lain selain
Hamidin,” jelas Subahan pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Exco
FAM hari ini.
Kenyataan Subahan itu jelas menutup segala spekulasi kemungkinan
beliau turut berminat untuk menggantikan Tunku Ismail yang membuat keputusan
meletakkan jawatan, genap setahun menerajui FAM pada 25 Mac lalu.
Malah Subahan yang meraih undi tertinggi iaitu 37 untuk
memenangi kerusi Timbalan Presiden FAM pada pemilihan tahun lalu bersikap
profesional dengan memberi laluan kepada seorang lagi timbalan presiden, Datuk
Yusoff Mahadi untuk menjadi pemangku presiden sebaik ahli Exco badan induk itu
menerima peletakan jawatan TMJ hari ini.
“Tahniah kepada Yusoff, saya sebagai timbalan presiden dan
Presiden Persatuan Bolasepak Selangor memang menyokong penuh beliau menjadi
pemangku presiden sehingga pemilihan pada Kongres FAM 14 Julai ini.
“Ini kerana beliau lebih layak walaupun ada yang menyatakan
sepatutnya, itu... dan ini... (Subahan dipilih) tapi sebenarnya tak timbul
masalah.
“Saya sendiri pun kalau diberi peluang tak sanggup kerana selaku
Presiden Persatuan Hoki Malaysia juga ada tanggung jawab lain yang perlu saya
galas dan bagi saya yang penting adalah muafakat, bukannya jawatan,” katanya.
Pencalonan
bagi pemilihan presiden baru FAM dibuka secara rasmi hari ini sehingga tarikh
tutup pada 11 Mei sebelum pelantikan dibuat pada Kongres FAM, 14 Julai depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan