PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee akan
berusaha keras untuk menurunkan segala pengalaman ketika ‘menuntut ilmu’ selama
sebulan di Atletico Madrid sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti skuad muda
negara.
Bagaimanapun, Kim Swee berdepan beberapa kekangan untuk
menerapkan pengetahuannya memandangkan beliau perlu menilai pendekatan yang
mahu digunakan sama ada bersesuaian dengan pemain muda negara ataupun tidak.
“Ilmu dapat diserap tanpa mengira dari mana ia datang. Apa yang
penting adalah kita tahu sama ada boleh atau tidak kita menggunakan corak yang
sama di Atletico Madrid dengan set pemain yang kita ada buat masa ini.
“Apa yang baik, saya akan bawa bersama namun apa yang saya fikir
belum lagi bersedia untuk diterapkan kepada pemain, saya akan tunggu pada masa
yang lebih sesuai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu bersama penolong
jurulatih, Brad Maloney diberi peluang menimba ilmu kejurulatihan di kelab
gergasi La Liga itu selama sebulan sejak Februari lalu.
Sebelum ini, jurulatih kelahiran Melaka berkenaan pernah
mengikuti program kejurulatihan bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris
berpangkalan di London, Queens Park Rangers (QPR) selama sebulan pada Februari
tahun lalu.
Mengulas lanjut pengalamannya bersama pasukan bimbingan Diego
Simeone itu, Kim Swee nyata kagum dengan apa yang dilakukan pasukan terbabit
sambil mengakui pengalaman itu memberi pendedahan yang cukup baik untuk
dirinya.
“Atletico Madrid adalah pasukan yang cukup besar dan segala
persiapan serta kemudahan yang mereka miliki sememangnya lebih baik. Corak
latihan juga berbeza dengan mereka memiliki sehingga lapan pembantu jurulatih.
“Ini membuktikan betapa seriusnya mereka dan dengan persekitaran
sebegitu di pusat latihan mereka, ia cukup memudahkan Simeone untuk menerapkan
corak latihan yang dimahukan.
“Namun
harus diingat Atletico Madrid memiliki pemain dengan kualiti yang baik sekali
gus membolehkan mereka melakukan apa yang sudah dirancang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan