SETIAUSAHA Agung Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul percaya cadangan Tunku Mahkota Johor
(TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan Datuk Hamidin Mohd. Amin
sebagai individu paling tepat untuk menggantikan baginda sebagai Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan keputusan jangka masa pendek.
Sebaliknya, Windsor mengakui Tunku Ismail
memilih Hamidin itu berdasarkan pengalaman baginda yang pernah menduduki
kerusi Presiden FAM, bukannya keputusan secara tergesa-gesa.
Ahad lalu, Tunku Ismail membuat kejutan
melepaskan jawatan baginda sebagai Presiden FAM secara rasmi pada sidang
akhbar selepas Kongres Tahunan Football Malaysia Limited Liability Partnership
(FMLLP).
Titah Tunku Ismail yang turut menyerah
notis peletakan jawatan baginda, menganggap Setiausaha Agung FAM itu adalah
calon paling layak untuk menggantikan baginda sebagai Presiden FAM baharu.
Mengulas lanjut, Windsor mendedahkan
Hamidin mampu menyambung legasi Tunku Ismail dalam usaha memartabatkan bola
sepak Malaysia jika bekas Naib Presiden FAM itu dipilih menjadi Presiden FAM
baharu nanti.
“Kalau TMJ (Tunku Ismail) sendiri bertitah
Hamidin boleh memikul (jawatan Presiden FAM), kita kena percaya.
Ini kerana
tugas (Presiden FAM) itu sudah pun dipikul oleh TMJ sendiri.
“Apabila seseorang itu telah menjadi
Presiden FAM, individu itu sahaja yang layak bercakap.
Ini bermakna (Sultan
Pahang) Sultan Ahmad Shah, (Pemangku Sultan Pahang) Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah dan TMJ boleh bercakap mengenai kerusi Presiden FAM. Orang lain
sekadar bercerita spekulasi sahaja.
“Namun jika TMJ mempunyai keyakinan kepada
Hamidin, kita kena percaya.
Itu adalah cadangan TMJ yang mana keputusan itu
dibuat bukan tergesa-gesa sebaliknya baginda arif Hamidin memiliki keupayaan
tersebut.
“Hamidin diibarat ‘wajah bola sepak
Malaysia’.
Di mana ada persidangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)
dan AFC, beliaulah akan mewakili FAM.
“Malah Presiden FIFA, Gianni Infantino dan
Presiden AFC, Salman Ibrahim Al-Khalifa sendiri cukup rapat dengan Hamidin.
Jadi, beliau bukan sahaja memiliki hubungan baik dalam negara, sebaliknya
memiliki hubungan baik di seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan