Hamidin kena lupakan jawatan dalam MOM jika mahu jadi Presiden FAM
HAMIDIN MOHD. AMIN dicadangkan mendapat sokongan
ramai pemerhati untuk menerajui FAM selepas namanya dicadangkan oleh Tunku
Ismail Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR 29 Mac - Datuk Hamidin Mohd. Amin
perlu memilih salah satu - kerusi Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia
(MOM) atau kedudukan No. 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
SIEH KOK CHI
Kok Chi berkata, ini kerana FAM adalah sebuah
persatuan sukan besar dan Hamidin, yang dicalonkan sendiri oleh Tunku Ismail
Sultan Ibrahim bagi menggantikan tempatnya, dikhuatiri tidak menang tangan
untuk menjalankan tugas jika memegang kedua-dua jawatan penting tersebut.
Walau bagaimanapun, katanya, tiada sesiapa yang
akan menghalang Hamidin untuk berebut dua jawatan penting sekali gus kerana MOM
selaku badan induk persatuan sukan mengamalkan sistem demokrasi dalam pemilihan
pucuk pimpinan yang dijangka diadakan pada Jun ini.
“Saya lihat cadangan Tunku Ismail itu tepat dan
saya percaya Hamidin mampu membawa perubahan yang diharapkan walaupun beliau
bukan dalam kalangan kerabat diraja, orang kenamaan (VIP) atau ahli politik.
“Bagaimanapun, jika beliau sudah memegang
jawatan No. 1 FAM, saya rasa kurang sesuai untuk dia merebut jawatan Timbalan
Presiden MOM.
Ini kerana tugas dan tanggungjawab dalam FAM sangat berat dan
mencabar.
“Hamidin sudah lama berada dalam FAM, menerusi
pengalaman dan kemahirannya saya fikir dia lebih sesuai berada di sana (FAM).
Namun, beliau boleh cuba bertanding kerana MOM sentiasa mengamalkan demokrasi
bagi memastikan sukan di Malaysia diuruskan dengan lancar dan berjaya.
“Ini adalah pandangan saya, terpulang kepada
Hamidin untuk membuat keputusan,” kata Kok Chi ketika dihubungi Utusan Malaysia
hari ini.
Kok Chi adalah antara pentadbir sukan paling
dihormati kerana pengalamannya.
Beliau telah berkhidmat bersama MOM sejak 1992.
Pernah memegang jawatan Setiausaha Kehormat MOM selama 25 tahun, Kok Chi
membuat keputusan melepaskan jawatan itu ketika pemilihan anggota pentadbir MOM
pada 2015 untuk memberi ruang kepada orang baharu dengan Datuk Low Beng Choo
memenanginya manakala beliau memilih untuk menjadi penolong.
Pada 3 Mac lalu, Hamidin, 53, dikatakan bakal
merebut kerusi Timbalan Presiden MOM walaupun beliau berkata masih belum
membuat keputusan muktamad.
Persoalan kini adalah sama ada Hamidin akan
meneruskan hasrat berkenaan berikutan perkembagan terbaharu yang berlaku
setelah namanya disebut oleh Tunku Ismail sebagai orang paling sesuai untuk
mengisi jawatan Presiden FAM setelah baginda melepaskan jawatan Ahad lalu.
Pemilihan Presiden FAM dijangka diadakan pada
Julai ini, kira-kira sebulan selepas pemilihan MOM untuk penggal 2018-2021.
Selain Hamidin, individu terawal yang dikaitkan
dengan perebutan kerusi No.2 MOM itu adalah Pengerusi Institut Sukan Negara
(ISN), Datuk Seri Azim Zabidi pada Februari lalu dan yang terbaharu Setiausaha
Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain
Omardin.
Hamidin pernah memegang jawatan Setiausaha Agung
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selama 15 tahun dari 1998 hingga 2013 dan
dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 2013 bagi menggantikan Datuk Seri
Azzuddin Ahmad ketika FAM di bawah kepimpinan Sultan Ahmad Shah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan