PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP)
sepatutnya berbincang dengan 10 pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang terbabit
dengan isu hukuman denda RM9 juta bagi mencari jalan penyelesaian.
Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia
(PFAM), Rezal Zambery Yahya, berkata ini penting kerana isu terbabit perlu
diselesaikan segera untuk menjaga hubungan antara penganjur Liga M dan pasukan.
Katanya, ini selepas FMLLP menerima kritikan daripada Kuala
Lumpur, PKNS dan Persatuan Bola India Malaysia (MIFA) yang menyifatkan hukuman
berat itu boleh ‘membunuh’ pasukan mereka.
“Kami tidak mahu campur tangan dalam isu antara FMLLP dengan
kelab dan persatuan bola sepak ini terutama dalam hal berkaitan peraturan dan
garis panduan,” kata Rezal dalam satu majlis memperkenalkan penaja Anugerah
Pemain Terbaik Bulanan PFAM, di sini.
“Saya fikir semua orang sedar mengenai peraturan itu sebelum
bermulanya musim ini. Pasukan-pasukan ini tahu yang mereka melakukan kesalahan
dan kami harap mereka mengambil peluang ini perbetulkan kesilapan.
“Mereka masih boleh mengemukakan rayuan dan ia lebih baik untuk
FMLLP dan semua pasukan ini merancang satu pertemuan untuk membincangkan hal
ini.”
Empat pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur, PKNS, Kelantan dan
Selangor semuanya dikenakan denda RM 1.5 juta manakala Kuantan FA, MIFA, Pulau
Pinang, PDRM, Sarawak dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang beraksi dalam
saingan Liga Perdana perlu membayar RM 500,000.
Rezal turut menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) yang meminta pemain berani tampil dalam melaporkan
gejala rasuah seperti mengatur perlawanan untuk diberi ganjaran.
“Ia adalah cadangan bagus,” kata Rezal. “SPRM tampak benar-benar
serius dalam membanteras gejala mengatur perlawanan ini.
“Pemain
perlu berani tampil ke depan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mereka
didekati bookie. Mereka kini mempunyai platform untuk melaporkannya.”

Tiada ulasan:
Catat Ulasan