JANGAN terkejut andai ada pemain diarah mengambil ujian doping
walaupun ketika menjalani latihan. Ini kerana Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
kini bertindak lebih agresif untuk membanteras penggunaan bahan terlarang
apabila turut mengadakan ujian doping bukan hanya di dalam kejohanan.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John, pihak AFC
boleh melakukan ujian doping ke atas mana-mana pemain dan pada bila-bila masa
apabila seseorang pemain didaftarkan menyertai kejohanan kelolaan badan induk
itu.
“Ujian doping boleh dilakukan bukan hanya dalam pertandingan,
tapi pada bila-bila masa. Ketika latihan juga pegawai kami boleh datang untuk
lakukan ujian doping.
“Sebagai contoh, ada pemain sudah didaftarkan untuk Kejohanan
Bawah 16 tahun AFC tahun ini, kita boleh lakukan ujian doping bila dia datang
kem latihan kerana WADA (Agensi Anti Doping Dunia) sudah beri kita kebenaran
ambil ujian di luar pertandingan,” katanya.
Langkah yang diambil oleh AFC ini harus diambil perhatian buat
semua pemain khususnya pemain muda negara yang bakal beraksi di kejohanan
antarabangsa tahun ini termasuk Kejohanan AFC B-16 dan Kejohanan AFC B-19.
Malah kes doping penjaga gol skuad B-23 negara, Ahmad Syihan
Hazmi yang positif bahan terlarang metabolite methandienone ketika menyertai
Kejohanan AFC di China Januari lalu dan kini digantung sementara 60 hari
seharusnya dijadikan peringatan.
Windsor berkata, sebagai pemain profesional, semua pemain tidak
boleh memandang mudah sebarang makanan sampingan yang diambil.
“Pemain profesional kena selalu berbincang dengan pihak
perubatan. Kalau ambil sesuatu ubat untuk nak sihatkan badan pun tak boleh
kerana mereka pemain profesional. Kes yang berlaku sebelum ini harus dijadikan
satu pengajaran,” jelasnya.
tamat

Tiada ulasan:
Catat Ulasan