KETUA Pegawai
Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KUALA LUMPUR: Perkongsian
Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menegaskan denda yang dikenakan
kepada 10 pasukan gara-gara kegagalan mereka melengkapkan dokumen pendaftaran
Liga Malaysia (Liga M) musim 2018, tidak berat dan kejam
Ketua Pegawai Eksekutif
FMLLP, Kevin Ramalingam yang tampil mempertahankan keputusan itu berkata,
sekiranya mengambil kira peningkatan insentif kepada pasukan Liga M tahun ini,
denda Rm1.5 juta dan RM500,000 yang dikenakan kepada pasukan Liga Super dan
Liga Perdana itu tidak akan menjejaskan mereka.
Insentif untuk pasukan Liga
Super meningkat daripada RM1 juta kepada RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana
pula menerima RM1 juta tahun ini berbanding RM250,000 tahun lalu.
"Melihat kepada
pendapatan setiap pasukan dan geran tahunan yang diberikan kepada pasukan Liga
Super dan Liga Perdana tahun ini, denda itu tidak akan memberi kesan kepada
mereka," kata Kevin ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Dadah MIFA di
sini, hari ini.
"Denda RM1.5 juta jika
dibandingkan dengan geran RM1 juta tahun lalu adalah lebih besar. Tapi jika
insentif yang kami berikan terus meningkat seperti yang kami lakukan tahun ini
dengan memberikan pasukan Liga Super RM3 juta maka sebenarnya tiada perubahan.
"Selepas membuat
pertimbangan mengenai denda RM1.5 juta, pasukan Liga Super masih ada baki RM1.5
juta daripada geran itu, iaitu lebih 50 peratus daripada geran tahun lalu.
"Jadi, bukannya
pasukan mendapat kurang daripada tahun lalu. Kami seboleh-bolehnya mahu berlaku
adil tapi kami juga perlu bertindak tegas dalam isu
ini."
Kevin menambah, dengan
mengenakan denda kewangan yang berat kepada pasukan, FMLLP berharap ia akan
memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan profesionalisme dalam bola
sepak.
"Pihak pengurusan
harus memastikan mereka bersedia dengan cabaran baharu dan mereka tidak boleh
terus mengulangi kesalahan sama," kata Kevin yang mengesahkan Selangor
satu-satunya pasukan yang sudah menghantar surat rayuan bagi meringankan denda
berkenaan.
Selain Selangor, tiga lagi
pasukan Liga Super yang dikenakan denda itu ialah Kelantan, Kuala Lumpur, dan
PKNS FC manakala enam pasukan Liga Perdana pula ialah Sarawak, Pulau Pinang,
Kuantan FA, PDRM, MIFA serta UKM FC.
"Kami berharap mereka
meningkatkan kemahiran pengurusan dan menjadi lebih profesional. Sasaran kami
untuk tahun yang akan datang untuk memberikan pasukan sebanyak RM6 atau RM7
juta tapi jika pihak pengurusan masih bersikap seperti ini, bagaimana kami mahu
memberi mereka duit yang banyak?
"Penaja juga akan lari
kerana mereka tidak gembira dengan sikap seperti ini."

Tiada ulasan:
Catat Ulasan