SAFAWI Rasid. FOTO Asyraf Hamzah.
Adakalanya saya terasa untuk membincangkan atau berbahas mengenai perkara yang berlaku dalam arena bola sepak tempatan. Antaranya perkara seperti denda yang dikenakan kepada pasukan yang gagal memenuhi syarat pihak pengurusan liga di Malaysia.
Dan bagaimana hukuman itu dikurangkan terutama sekali apabila
terdapat pegawai tertinggi di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang
juga menjadi presiden salah sebuah pasukan yang dikenakan denda itu.
Adakalanya, saya ingin juga membincang atau berbahas bagaimana
pasukan kebangsaan dipilih. Berdasarkan kepada apa yang berlaku pada 2017, di
mana seorang jurulatih asing diberi kepercayaan walaupun gagal membina atau
membuat pilihan rasional tetapi kini, jurulatih tempatan menggugurkan empat
belas pemain. Semua empat belas pemain itu datangnya dari pasukan terunggul di
Malaysia.
Kemudian di panggil balik dua pemain pula.
Tetapi jelas dalam dunia bola sepak ada perkara yang lebih
menarik seperti pasukan Sepanyol yang membelasah Argentina pada perlawanan
persahabatan antarabangsa.
Agak menakjubkan bagaimana Sepanyol yang menjadi juara dunia
2010 dan gagal di Piala Dunia 2014, bangkit semula selepas lapan tahun.
Walaupun perlawanan persahabatan tetapi penguasaan keseluruhan Sepanyol begitu
cemerlang.
Keputusan itu datangnya beberapa hari selepas Sepanyol seri
dengan Jerman. Keputusan seri itu berlaku di Düsseldorf di mana untuk tiga
puluh minit pertama, Sepanyol begitu licik memperdayakan juara dunia 2014 itu.
Tetapi menentang Argentina, kita dapat lihat tiki-taka seperti mana di tahun
2010.
Brazil juga sudah bermula dengan langkah kanan selepas hancur
dilanda tekanan emosi serta jangkaan tinggi ketika menjadi tuan rumah Piala
Dunia 2014. Dua perlawanan persahabatan menentang Russia dan Jerman melihatkan
gabungan teknik serta tenaga dan mereka menang tanpa ramuan utama, Neymar.
Walaupun Jerman tewas di laman sendiri tetapi Joachim Loew
menurunkan beberapa pemain simpanan ketika menentang Brazil. Dengan tujuh
pemain gantian selepas seri dengan Sepanyol maka Jerman tidak berjaya membina
rentak. Jelas bahawa Mario Gomez serta Sandro Wagner masih jauh daripada taraf
sebenar.
Mujur Jerman mempunyai Timo Werner yang begitu pantas di barisan
serangan.
Ketiga-tiga pasukan yang disebut ini menjadi pilihan untuk
sekurang-kurangnya mengisi tempat di peringkat separuh akhir. Walaupun masih
awal untuk meletakkan pilihan namun Sepanyol, Brazil serta Jerman mempunyai
kekuatan keseluruhan serta pengalaman untuk mara jauh di Piala Dunia 2018.
Dan apa pula ceritanya dengan gandingan penyerang Ousmane
Dembele, Kylian Mbappé dan Anthony Martial yang di turunkan Perancis ketika
menentang Russia?
Seperti yang sudah berulang kali di sebut di kolum ini,
ketiga-tiga pemain itu adalah barisan serangan yang terpantas di dunia. Mereka
berpotensi menjadi juara dunia sekiranya Didier Deschamps yakin dengan diri
sendiri ketika membuat pilihan.
Apa
pula kurangnya kita di Malaysia dengan gandingan Akhyar Rashid, Ahmad Hazwan
Bakiri serta Safawi Rasid?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan