KEDUDUKAN Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon pilihan untuk
mengisi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin kukuh.
Ia susulan, semua ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) Persatuan
Bolasepak Selangor (FAS) secara terbuka menzahirkan sokongan penuh kepada
Setiausaha Agung FAM itu, sambil menyifatkan beliau individu paling layak untuk
menerajui badan induk itu ketika ini.
Salah seorang Exco FAS, Datuk Ariffin Abd Hamid menjelaskan
semua 19 exco persatuan negeri itu menyokong penuh sekiranya Hamidin dipilih
sebagai pengganti Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Beliau (Hamidin) individu paling layak untuk dipilih sebagai
Presiden FAM. Walaupun beliau insan biasa, tapi bagi kami beliau sebenarnya
luar biasa.
“Beliau mempunyai banyak pengalaman dan pernah menjawat jawatan
Setiausaha Agung FAS selama 20 tahun. Kami percaya beliau mampu membawa
kemajuan kepada FAM untuk masa akan datang.
“Semua 19 Exco FAS menyokong Hamidin. Kami lihat profil
beliau yang sememangnya layak termasuk mempunyai hubungan baik di seluruh dunia
dalam sukan bola sepak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
FAS menjadi ahli gabungan FAM kedua yang menyokong Hamidin
selepas Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menerusi presidennya, B
Sathianathan seperti yang dilaporkan Sukan NSTP sebelum ini turut menyatakan
pendirian sama.
Selain
FAS dan PJBM, Hamidin turut mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan,
Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut menyifatkan beliau sebagai individu
paling layak menerajui tampuk kepemimpinan FAM selepas TMJ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan