Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 31 Mac 2018

FAM perlu Presiden sepenuh masa

PJBM, FAS sedia calonkan Hamidin bertanding kerusi No. 1 pada kongres Julai depan



SATHIANATHAN

PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan berkata, pihaknya bersedia untuk mencalonkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM pada Julai depan.



HAMIDIN

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan cadangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyarankan Hamidin dipilih menjadi Presiden FAM selepas baginda.

Katanya, Hamidin adalah calon hampir sempurna selepas Tunku Ismail untuk menjadi pemimpin baharu badan induk persatuan tersebut secara sepenuh masa.

Tegasnya, tugas Presiden FAM semakin mencabar bagi mengharungi era bola sepak moden yang serba pantas selain memenuhi tuntutan pelbagai pihak.

“Sudah pasti PJBM mengalu-alukan cadangan TMJ kerana kita semua tahu Hamidin hadir daripada ‘keluarga bola sepak’. Beliau sudah lama berkecimpung dalam sukan ini.

“Saya fikir Hamidin memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam pengurusan bola sepak. Dia sentiasa disenangi oleh kesemua pemain, jurulatih dan pihak pengurusan.

“Sudah tiba masa kita memerlukan seorang Presiden sepenuh masa. Ini kerana adalah satu keperluan serta anjakan untuk berada ke peringkat lebih mo­den.

“Tugas Presiden tidak sama lagi seperti dahulu di zaman serba pantas ini. Presiden harus cepat bertindak untuk membuat keputusan dan sebagainya.

Jadi, Hamidin adalah orang paling layak selepas Tunku Ismail untuk menjadi Presiden FAM.

“Jika Exco-Exco FAM me­nerima surat peletakan jawatan Tunku Ismail, PJBM telah bersedia untuk mencalonkan Hamidin merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM, Julai depan,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! semalam.

Ahad lalu, Tunku Ismail membuat kejutan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM secara rasmi pada sidang akhbar selepas Kongres Tahunan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Titah Tunku Ismail yang turut menyerahkan notis peletakan jawatan baginda menyifatkan Setiausaha Agung FAM itu adalah calon paling layak untuk menggantikan baginda sebagai Presiden FAM baharu.

Namun, barisan Exco FAM akan menilai dahulu permintaan Tunku Ismail pada Mesyuarat Khas Exco FAM yang akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya Isnin ini.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) turut menyatakan sokongan kepada bekas Setiausaha Agung mereka untuk bertan­ding merebut jawatan Presiden FAM.

Perkara itu disahkan oleh Exco FAS, Datuk Arriffin Ab. Hamid yang turut senada dengan Sathianathan, mendedahkan FAS akan mengikuti jejak langkah PJBM untuk mencalonkan Hamidin pada Kongres FAM Julai depan.

“Hamidin banyak berjasa dengan bola sepak Selangor, jadi sudah pasti FAS akan memberikan sokongan penuh kepada beliau untuk bertanding jawatan Presiden FAM.

“Saya fikir tiada siapa lagi lebih layak daripada Hamidin selepas pemergian Tunku Ismail. Hamidin memiliki karakter luar biasa yang mana beliau banyak membantu pihak-pihak menyelesaikan masalah.

“Jadi, pengalamannya yang luas baik di dalam mahu pun luar negara antara salah satu faktor mengapa Hamidin adalah calon paling tepat untuk mengemudi FAM,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan