Kuala Lumpur: Sehari selepas memutuskan hukuman pemotongan mata
ke atas 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M)
musim ini ‘ditangguhkan’, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia
(FMLLP) semalam mendedahkan semua pasukan itu dikenakan denda keseluruhan
berjumlah RM9 juta.
Keputusan FMLLP itu menyaksikan kegembiraan pasukan berkenaan
hanya sementara dan lebih mengejutkan denda yang dikenakan itu bukan satu
jumlah yang kecil, sebaliknya mampu menyesakkan nafas masing-masing.
Empat pasukan Liga Super - Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan
PKNS FC - yang gagal melengkapkan pendaftaran masing-masing dikenakan denda
RM1.5 juta, manakala enam pasukan Liga Perdana - Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan
FA, PDRM, MIFA dan UKM FC - pula masing-masing perlu membayar denda sebanyak
RM500,000 atas kesalahan yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bagaimanapun
menegaskan denda itu boleh dikurangkan berdasarkan rayuan daripada setiap
pasukan dalam tempoh 14 hari.
“Ada dua bentuk hukuman kepada pasukan terbabit kerana ada dua
kesalahan berbeza. Pasukan yang lewat menghantar dokumen dikenakan hukuman
penangguhan pemotongan mata dan juga denda kewangan, manakala pasukan yang
gagal menghantar dokumen yang lengkap dikenakan hukuman penangguhan pemotongan
mata, denda kewangan dan sekatan perpindahan pemain baru sehingga isu ini
selesai.
“Bagi pasukan Liga Super, mereka dikenakan denda sebanyak RM1.5
juta, manakala pasukan Liga Perdana RM500,000.
Bagaimanapun, denda ini mungkin dikurangkan berdasarkan rayuan
yang dibuat. Andai gagal menjelaskan denda, bayaran boleh dibuat menerusi
pemotongan geran tahunan,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian
pusingan ketiga Piala FA, kelmarin.
PASUKAN Selangor
hantar dokumen pendaftaran selepas tarikh akhir 3 Februari lalu.
Kelmarin, Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas
mesyuarat ahli lembaga pengarah badan pengelola Liga M itu berkata, pihaknya
menangguhkan hukuman pemotongan mata sehingga tempoh pendaftaran pemain baru musim
depan iaitu pada penghujung tahun ini.
Berdasarkan laporan sebelum ini, enam pasukan Kelantan, Kuala
Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan, PDRM gagal melengkapkan dokumen,
manakala Selangor, PKNS, MIFA dan UKM pula menghantar dokumen pendaftaran selepas
tarikh akhir 3 Februari lalu.
Kevin berkata, pasukan yang gagal menghantar dokumen berdepan
hukuman pemotongan enam mata, manakala pasukan lewat menghantar dokumen pula
tiga mata.
“Hukuman ini ditangguhkan kerana matlamat kita bukan untuk
bertindak kejam kepada pasukan dengan memotong mata. Pasukan berkenaan tidak
akan dikenakan hukuman pemotongan mata jika mereka melengkapkan dokumen, tidak
melanggar sebarang peraturan sepanjang musim.
“Kita
tangguhkan dulu hukuman ini kerana sekarang mereka sudah tahu akibatnya jika
mereka masih gagal melengkapkan dokumen atau melanggar peraturan sehingga
tarikh akhir pendaftaran musim 2019, Disember nanti,” katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan