KEVIN dedahkan 10
pasukan akan didenda namun boleh dapat pengurangan berdasarkan rayuan dalam
tempoh 14 hari. -Foto fail
KUALA LUMPUR: Sehari selepas memutuskan hukuman pemotongan mata
ke atas 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M)
musim ini 'ditangguhkan', Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia
(FMLLP) semalam mendedahkan semua pasukan itu dikenakan denda keseluruhan
berjumlah RM9 juta.
Keputusan FMLLP itu menyaksikan kegembiraan pasukan berkenaan
hanya sementara dan lebih mengejutkan denda yang dikenakan itu bukan satu
jumlah yang kecil, sebaliknya mampu menyesakkan nafas masing-masing.
Empat pasukan Liga Super - Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan
PKNS FC - yang gagal melengkapkan pendaftaran masing-masing dikenakan denda
RM1.5 juta, manakala enam pasukan Liga Perdana - Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan
FA, PDRM, MIFA dan UKM FC - pula masing-masing perlu membayar denda sebanyak
RM500,000 atas kesalahan yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bagaimanapun
menegaskan denda itu boleh dikurangkan berdasarkan rayuan daripada setiap
pasukan dalam tempoh 14 hari.
"Ada dua bentuk hukuman kepada pasukan terbabit kerana ada
dua kesalahan berbeza. Pasukan yang lewat menghantar dokumen dikenakan hukuman
penangguhan pemotongan mata dan juga denda kewangan, manakala pasukan yang
gagal menghantar dokumen yang lengkap dikenakan hukuman penangguhan pemotongan
mata, denda kewangan dan sekatan perpindahan pemain baru sehingga isu ini
selesai.
"Bagi pasukan Liga Super, mereka dikenakan denda sebanyak
RM1.5 juta, manakala pasukan Liga Perdana RM500,000.
SELANGOR
dikenakan denda RM1.5 juta kerana lewat hantar dokumen yang lengkap. -Foto fail
Bagaimanapun, denda ini
mungkin dikurangkan berdasarkan rayuan yang dibuat. Andai gagal menjelaskan
denda, bayaran boleh dibuat menerusi pemotongan geran tahunan," katanya
ketika ditemui selepas majlis undian pusingan ketiga Piala FA, kelmarin.
Kelmarin, Pengerusi FMLLP,
Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah badan
pengelola Liga M itu berkata, pihaknya menangguhkan hukuman pemotongan mata
sehingga tempoh pendaftaran pemain baru musim depan iaitu pada penghujung tahun
ini.
Berdasarkan laporan sebelum
ini, enam pasukan Kelantan, Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan, PDRM
gagal melengkapkan dokumen, manakala Selangor, PKNS, MIFA dan UKM pula
menghantar dokumen pendaftaran selepas tarikh akhir 3 Februari lalu.
Kevin berkata, pasukan yang
gagal menghantar dokumen berdepan hukuman pemotongan enam mata, manakala
pasukan lewat menghantar dokumen pula tiga mata.
"Hukuman ini
ditangguhkan kerana matlamat kita bukan untuk bertindak kejam kepada pasukan
dengan memotong mata. Pasukan berkenaan tidak akan dikenakan hukuman pemotongan
mata jika mereka melengkapkan dokumen, tidak melanggar sebarang peraturan
sepanjang musim.
"Kita tangguhkan dulu
hukuman ini kerana sekarang mereka sudah tahu akibatnya jika mereka masih gagal
melengkapkan dokumen atau melanggar peraturan sehingga tarikh akhir pendaftaran
musim 2019, Disember nanti," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan