BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin
Abdullah. - Foto Hasan Ismail
KUALA LUMPUR: Bekas
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin
Abdullah menegaskan tiada alasan lagi buat 10 pasukan Liga Malaysia (Liga M)
gagal melengkapkan pendaftaran selepas peluang kedua diberikan Perkongsian
Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).
Ahli Lembaga Pengarah FMLLP
dalam mesyuaratnya di Johor Bahru semalam memutuskan penangguhan hukuman
pemotongan mata bagi pasukan yang masih belum melengkapkan proses berkenaan.
Pasukan terbabit adalah
Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, PKNS FC, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA,
PDRM, MIFA dan UKM FC. Mereka diberi tempoh sehingga pendaftaran baharu musim
depan yang dijangka pada hujung tahun ini.
Menurut Kamaruddin, tempoh
panjang yang diberikan badan pengelola Liga M itu perlu digunakan sepenuhnya
oleh pasukan berkenaan untuk memperbetulkan segala kekurangan bagi melengkapkan
pendaftaran.
"Sebelum ini saya kata
jangan potong mata, denda saja, tapi sekarang FMLLP sudah bagi peluang kedua
untuk semua pasukan itu buat pembetulan. Satu hukuman yang wajar dan patut
dihargai pasukan terbabit.
"Jadi kalau dalam
tempoh lebih sembilan bulan ini mereka (pasukan) tak buat juga, kita tidak boleh
salahkan FMLLP lagi sebab sudah lama sangat tempoh (penangguhan hukuman)
diberikan.
"Kalau buat salah lagi
memang tak boleh dimaafkan, sebab itu memang salah pengurusan pasukan
berkenaan. Sudah banyak sangat peluang diberikan," katanya ketika
dihubungi, hari ini.
Sukan NSTP sebelum ini
melaporkan Kamarudin berkata FMLLP boleh dianggap kejam sekiranya mengenakan
hukuman memotong mata 10 pasukan berkenaan, sebaliknya berpendapat mereka hanya
perlu dikenakan denda terlebih dahulu.
Berkenaan hukuman tertangguh
yang dikenakan FMLLP semalam, pasukan terbabit tidak boleh melakukan kesalahan
lain seperti gagal membayar gaji pemain dan jika perkara itu berlaku hukuman
pemotongan mata secara automatik akan berjalan.
Selain hukuman
ditangguhkan, semua pasukan itu juga diberikan tempoh 14 hari bermula semalam
untuk mengemukakan rayuan bagi memohon mengurangkan hukuman.
Kamarudin yang juga bekas
pemain kebangsaan turut berpendapat, FMLLP wajar memotong mata jika pasukan
terbabit sekali lagi melakukan kesalahan sama dan melanggar hukuman tertangguh
yang diberikan.
"Selepas ini, memang
patut dipotong mata kerana tiada lagi ruang perlu diberikan selepas peluang
kedua. Berapa lama lagi yang pasukan mahu? Pengurusan pasukan perlu bekerja
untuk selesaikan masalah ini," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan