PENGGUNAAN teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali lagi
perlu ditangguhkan untuk tempoh jangka masa panjang selepas Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) mengesahkan teknologi itu tidak akan digunakan bagi saingan Liga
Malaysia (Liga M) dalam masa terdekat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan ini berikutan kekangan dana yang
dihadapi oleh badan induk itu kerana kos menggunakan teknologi itu begitu besar
dan mampu menelan belanja sehingga AS$8,000 (RM31,282) untuk satu perlawanan.
Dalam masa sama, Subkhiddin mengakui betapa perbelanjaan untuk
mengoperasikan sistem terbabit juga mampu mencecah lebih RM24 juta dan
disifatkan sebagai pelaburan tidak berbaloi sekiranya hanya digunakan untuk
menilai kembali beberapa insiden sahaja sepanjang musim.
“Kalau di peringkat FAM, kita perlu membuat lebih banyak kajian
dan tidak boleh semberono kepada membabitkan kewangan besar. Jadi, kita tidak
akan menggunakan VAR dalam tempoh terdekat ini.
“Pandangan saya adalah lebih baik jika dana yang ada digunakan
untuk kita meningkatkan kemahiran pengadil dan meningkatkan mutu pengadilan
daripada kita melabur berpuluh-puluh juta hanya untuk menilai beberapa situasi
sahaja.
“Namun saya melihat tidak mustahil VAR akan digunakan dalam tiga
ke empat tahun akan datang kerana teknologi sebegini akan menjadi lebih murah
selepas ini. Ia masih baharu ketika ini jadi sebab itulah kosnya begitu
melambung tinggi,”katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
Bagaimanapun, Subkhiddin menyatakan pihaknya sememangnya sudah
bersedia untuk menggerakkan jawatankuasanya jika mendapat bantuan dana daripada
pihak luar untuk menggunakan teknologi terbabit dalam kancah bola sepak
tempatan.
“Kalau kita lihat di Korea Selatan, mereka mendapat bantuan dari
pihak luar untuk penggunaan teknologi itu dan bukan sekadar mengharapkan dana
dalaman. Begitu juga dengan China di mana mereka menggunakan pengadil dari luar
untuk menguruskan VAR.
“Jika ada pihak luar yang mahu menyuntik dana, saya kira tidak
ada masalah untuk kita menggunakan VAR. Kalau sekadar menggunakan belanjawan
FAM, saya rasa itu agak membazir.
“Sebenarnya VAR ini lebih kompleks dan dikhuatiri menimbulkan
lebih banyak kontroversi. Kita sanggup untuk berhadapan dengan kritikan kalau
timbul isu yang saya boleh anggap hanya akan berlaku sekali daripada 1,000,”
katanya.
Berdasarkan perancangan awal, badan induk bola sepak negara itu
bercadang menggunakan VAR dalam kancah Liga M musim ini sebelum dilaksanakan
sepenuhnya tahun depan.
Namun,
badan induk berkenaan menangguhkan hasrat itu sehingga musim 2019 kerana enggan
terburu-buru menggunakan sistem terbabit yang jelas menelan belanja cukup besar
dan membuat keputusan untuk melihat terlebih dulu penggunaan sistem itu pada
Piala Dunia 2018 Russia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan