PENGERUSI Jawatankuasa
Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh (kiri) menjelaskan VAR tidak akan
digunakan dalam tempoh terdekat. - Foto Owee Ah Chun
KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR)
sekali lagi perlu ditangguhkan untuk tempoh jangka masa panjang selepas
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan teknologi itu tidak akan
digunakan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam masa terdekat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan ini berikutan kekangan dana yang
dihadapi oleh badan induk itu kerana kos menggunakan teknologi itu begitu besar
dan mampu menelan belanja sehingga AS$8,000 (RM31,282) untuk satu perlawanan.
Dalam masa sama, Subkhiddin mengakui betapa perbelanjaan untuk
mengoperasikan sistem terbabit juga mampu mencecah lebih RM24 juta dan
disifatkan sebagai pelaburan tidak berbaloi sekiranya hanya digunakan untuk
menilai kembali beberapa insiden sahaja sepanjang musim.
"Kalau di peringkat FAM, kita perlu membuat lebih banyak
kajian dan tidak boleh semberono kepada membabitkan kewangan besar. Jadi, kita
tidak akan menggunakan VAR dalam tempoh terdekat ini.
"Pandangan saya adalah lebih baik jika dana yang ada
digunakan untuk kita meningkatkan kemahiran pengadil dan meningkatkan mutu
pengadilan daripada kita melabur berpuluh-puluh juta hanya untuk menilai
beberapa situasi sahaja.
"Namun saya melihat tidak mustahil VAR akan digunakan dalam
tiga ke empat tahun akan datang kerana teknologi sebegini akan menjadi lebih
murah selepas ini.
"Ia masih baharu ketika ini jadi sebab itulah kosnya begitu
melambung tinggi,"katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma FAM,
semalam.
Bagaimanapun, Subkhiddin menyatakan pihaknya sememangnya sudah
bersedia untuk menggerakkan jawatankuasanya jika mendapat bantuan dana daripada
pihak luar untuk menggunakan teknologi terbabit dalam kancah bola sepak
tempatan.
"Kalau kita lihat di Korea Selatan, mereka mendapat bantuan
dari pihak luar untuk penggunaan teknologi itu dan bukan sekadar mengharapkan
dana dalaman. Begitu juga dengan China di mana mereka menggunakan pengadil dari
luar untuk menguruskan VAR.
"Jika ada pihak luar yang mahu menyuntik dana, saya kira
tidak ada masalah untuk kita menggunakan VAR. Kalau sekadar menggunakan belanjawan
FAM, saya rasa itu agak membazir.
"Sebenarnya VAR ini lebih kompleks dan dikhuatiri
menimbulkan lebih banyak kontroversi. Kita sanggup untuk berhadapan dengan
kritikan kalau timbul isu yang saya boleh anggap hanya akan berlaku sekali
daripada 1,000," katanya.
Berdasarkan perancangan awal, badan induk bola sepak negara itu
bercadang menggunakan VAR dalam kancah Liga M musim ini sebelum dilaksanakan
sepenuhnya tahun depan.
Namun, badan induk berkenaan menangguhkan hasrat itu sehingga
musim 2019 kerana enggan terburu-buru menggunakan sistem terbabit yang jelas
menelan belanja cukup besar dan membuat keputusan untuk melihat terlebih dulu
penggunaan sistem itu pada Piala Dunia 2018 Russia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan