LEMBAGA Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) dijangka
mengeluarkan keputusan muktamad esok sama ada penggunaan sistem Video Bantuan
Pengadil (VAR) dalam sukan itu boleh diteruskan atau sebaliknya.
Ramai pihak yang terbabit dalam merangka dasar bola sepak berasa
keputusan mengenai VAR memberikan kesan asas kepada bola sepak seperti yang
sudah berlaku dalam beberapa ujian di beberapa kejohanan.
Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni
Infantino adalah penyokong tegar VAR dan sudah berjanji akan menggunakan
teknologi berkenaan dalam Piala Dunia Russia jika mendapat kelulusan IFAB.
Infantino berkata VAR akan melenyapkan semua kontroversi seperti
yang terbukti dalam keputusan pengadil ketika memberikan penalti kepada
Switzerland ketika pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Ireland Utara
November lalu.
Infantino juga menguatkan dakwaan dengan mengakui terdapat
pengurangan kesilapan pengadil membuat keputusan jika VAR diguna pakai.
Namun terdapat juga persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaannya
yang dikatakan kerap menjejaskan tumpuan dalam bola sepak.
Dalam beberapa kes sebelum ini, pemain didapati terpinga-pinga
menunggu keputusan pengadil sama ada diberi penalti atau tidak dan kemudian
diberikan sepakan percuma menyebabkan timbul kekecohan dan bantahan.
Dalam kes lain pula, seluruh stadium meraikan gol yang
dijaringkan manakala keputusan sudah diuar-uarkan menerusi laman web, namun
selepas merujuk VAR, pengadil kemudian membatalkan gol berkenaan.
“Bagi saya ia keputusan negatif, pemain tidak akan berpelukan
untuk meraikan jaringan seperti lazimnya, mereka sebaliknya akan merenung tepat
ke arah pengadil untuk menunggu keputusan,” kata jurulatih Lazio, Simone
Inzaghi.
“Ia akan meragut perasaan seronok daripada kita semua dan
penyokong. Ia melenyapkan keseronokan daripada bola sepak.”
Tahun lalu, sebelum tempoh percubaan dilaksanakan, IFAB pernah
menegaskan bahawa VAR akan ‘mengurangkan campur tangan, tetapi memberi impak
maksimum’ apabila dilaksanakan kelak.
Menurut protokol IFAB, VAR hanya akan diguna untuk membuat
keputusan mengenai sesuatu jaringan, penalti, layangan kad merah dan rujukan ke
atas identiti pemain yang didapati mengelirukan.
Seorang pengadil ditugaskan memantau semua elemen di atas
menggunakan alat komunikasi untuk interaksi dengan pengadil bertugas di atas
padang.
Jika ada keputusan yang pelik maka insiden seperti itu segera
dirujuk kepada pengadil yang mengendalikan VAR.
Pengadil di atas padang juga turut dibenarkan melihat rakaman
insiden berkenaan menerusi monitor yang disediakan di tepi padang.
Pengarah Teknikal IFAB, David Elleray berkata pihaknya sedia
meneliti empat pandangan bagi setiap perlawanan berbanding cadangan lain.
Pengadil dalam Serie A Itali pula didapati berjaya menggunakan
teknologi berkenaan dalam menentukan keputusan penting sama ada membabitkan
kedudukan ofsaid pemain, jika berlaku kesilapan pun ia tidak mencetuskan
keributan.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin pula berkata VAR memerlukan
masa lagi untuk dilaksanakan sepenuhnya dan memberi jaminan bahawa teknologi
itu tidak akan diguna pakai dalam kempen Liga Juara-Juara musim depan walau
apapun keputusan dibuat IFAB esok.
“Bagi
saya, masih banyak kekeliruan berlaku dari masa ke semasa. Tetapi itu tidak
bermakna saya menentang penggunaannya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan