JURULATIH Datuk Ong
Kim Swee membuat keputusan untuk tidak membawa skuad bawah 23 tahun (B-23) ke
saingan Piala Ulang Tahun PSSI 2018 (PSSI Anniversary Cup 2018) di Stadium
Pakansari, Jawa Barat, Indonesia, pada 27 April-6 Mei, sebaliknya akan menguji
pemain baru berusia 21 tahun.
Kim Swee berkata,
kejohanan jemputan empat penjuru membabitkan skuad B-23 Indonesia, Bahrain dan
Korea Utara itu akan menjadi pendedahan terbaik buat pemain muda yang bakal
diserapkan ke dalam skuad negara bagi aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 tahun
depan.
“Saya dan pihak
pengurusan membuat keputusan untuk tidak membawa pemain skuad B-23 yang beraksi
di Kejohanan AFC di China sebelum ini sebaliknya hanya menggunakan pemain B-21.
“Berikutan saingan
Liga Malaysia yang sedang berlangsung ketika itu, agak sukar untuk saya
memanggil pemain B-23 menyertai pasukan. Pemain B-21 ini juga adalah pemain
baru yang tiada dalam skuad B-23 sebelum ini dan akan kami nilai di kejohanan
itu nanti sebagai persiapan pasukan bagi kelayakan Kejohanan AFC tahun depan,”
katanya ketika dihubungi, hari ini.
ADVERTISING
Kim Swee bersama
penolong jurulatih, Brad Maloney kini berada di Sepanyol menjalani latihan
kejurulatihan bersama kelab Atletico Madrid selama sebulan.
Biarpun ketiadaannya,
proses mengenal pasti pemain B-21 sedang dilakukan pembantu lain yang diketuai
Khan Hung Meng sebelum sesi latihan pusat pertama pada 18 hingga 27 Mac ini.
“Kami sedang memantau
pemain yang akan dipanggil bagi sesi latihan pertama pada 18 Mac ini.
Kemungkinan kami akan memanggil 30 pemain bagi sesi latihan itu nanti. Selepas
itu kami merancang untuk mengadakan satu lagi sesi latihan pada April, seminggu
sebelum kejohanan bermula,” kata Kim Swee yang membimbing pasukan B-23 melakar
sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.
Tambahnya, pemain B-21
yang menyerlah di kejohanan itu nanti kemungkinan akan diserapkan ke dalam
skuad B-23 bagi mengharungi Sukan Asia juga di Indonesia pada Ogos depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan