JURULATIH skuad B-23
negara, Datuk Ong Kim Swee (kanan) bersama penolong jurulatih, Bradley Maloney
kini berada di Sepanyol dan proses mengenal pasti pemain B-21 sedang dilakukan
pembantu lain yang diketuai Khan Hung Meng. - Foto Hairul Anuar Rahim
KUALA LUMPUR: Jurulatih
Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk tidak membawa skuad bawah 23 tahun
(B-23) ke saingan Piala Ulang Tahun PSSI 2018 (PSSI Anniversary Cup 2018) di
Stadium Pakansari, Jawa Barat, Indonesia, pada 27 April-6 Mei, sebaliknya akan
menguji pemain baru berusia 21 tahun.
Kim Swee berkata, kejohanan
jemputan empat penjuru membabitkan skuad B-23 Indonesia, Bahrain dan Korea
Utara itu akan menjadi pendedahan terbaik buat pemain muda yang bakal
diserapkan ke dalam skuad negara bagi aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 tahun
depan.
"Saya dan pihak
pengurusan membuat keputusan untuk tidak membawa pemain skuad B-23 yang
beraksi di Kejohanan AFC di China sebelum ini sebaliknya hanya menggunakan
pemain B-21.
"Berikutan saingan
Liga Malaysia yang sedang berlangsung ketika itu, agak sukar untuk saya
memanggil pemain B-23 menyertai pasukan.
"Pemain B-21
ini juga adalah pemain baru yang tiada dalam skuad B-23 sebelum ini dan
akan kami nilai di kejohanan itu nanti sebagai persiapan pasukan bagi kelayakan
Kejohanan AFC tahun depan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kim Swee bersama penolong
jurulatih, Brad Maloney kini berada di Sepanyol menjalani latihan kejurulatihan
bersama kelab Atletico Madrid selama sebulan.
Biarpun ketiadaannya,
proses mengenal pasti pemain B-21 sedang dilakukan pembantu lain yang diketuai
Khan Hung Meng sebelum sesi latihan pusat pertama pada 18 hingga 27 Mac ini.
"Kami sedang memantau
pemain yang akan dipanggil bagi sesi latihan pertama pada 18 Mac ini.
Kemungkinan kami akan memanggil 30 pemain bagi sesi latihan itu nanti.
"Selepas itu kami
merancang untuk mengadakan satu lagi sesi latihan pada April, seminggu sebelum
kejohanan bermula," kata Kim Swee yang membimbing pasukan B-23 melakar
sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.
Tambahnya, pemain B-21 yang
menyerlah di kejohanan itu nanti kemungkinan akan diserapkan ke dalam skuad
B-23 bagi mengharungi Sukan Asia juga di Indonesia pada Ogos depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan