KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan skuad kebangsaan
‘bersih’ daripada gejala mengatur perlawanan berdasarkan maklumat dikumpul
SportRadar tahun lalu.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, walaupun
wujud bukti mengenai gejala mengatur perlawanan membabitkan aksi antarabangsa
skuad kebangsaan, ia bagaimanapun tidak membabitkan pemain Malaysia sebaliknya
pasukan lawan.
“Kita sudah serah banyak bukti tahun lalu seperti (perlawanan)
membabitkan Laos, Kemboja, Malaysia, India, Nepal. Kita tak kira jumlah bukti
besar atau kecil, bila ada bukti, kita akan serah kepada persatuan bola sepak
negara masing-masing.
“Kita hanya pantau perlawanan antarabangsa Malaysia dengan
pasukan lain, bukan Liga Malaysia, jadi kebanyakan perlawanan bukan di pihak
Malaysia. Selalunya bookie kalau nak atur perlawanan, mereka mencari pasukan
lain yang bermain menentang Malaysia. Tapi sekarang bookie ada macam-macam
pertaruhan, bukan hanya menang kalah, jadi itu satu masalah yang besar.
“Buat masa ini kita pantau semua perlawanan antarabangsa yang
membabitkan semua pasukan di Asia, tapi bukti yang kita ada bukan pemain
Malaysia, tapi lebih kepada mengatur perlawanan membabitkan pasukan yang
menentang Malaysia seperti Laos, kemboja, Myanmar dan sebagainya,” katanya ketika
ditemui semalam.
Menurut Windsor, bukti kes mengatur perlawanan yang diserahkan
AFC kepada persatuan bola sepak dan pihak berkuasa negara berkenaan adalah
hasil pemantauan agensi SportRadar yang berpengalaman dan mahir mengenai bidang
sukan dan pertaruhan secara dalam talian.
Menerusi sistem Fraud Detection System (FDS) yang turut
digunakan agensi perisikan dan penyiasatan antarabangsa, SportRadar meneliti
pertaruhan luar biasa daripada 450 pengendali judi sukan dunia sebelum atau
semasa perlawanan sedang berlangsung sejak 2001.
Untuk rekod tahun lalu, skuad Harimau Malaya mengharungi lapan
perlawanan antarabangsa dengan enam kekalahan dan dua seri.
Windsor berkata, berdasarkan bukti diserahkan AFC itu, beberapa
negara sudah mengambil tindakan ke atas pemain dan pegawai terbabit.
“Kalau pemain Malaysia tak terbabit, kita tak serah bukti kepada
pasukan negara itu. Buat masa ini kita ada kerjasama baik dengan SPRM
(Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). INTERPOL dan FAM (Persatuan Bolasepak
Malaysia) juga sangat aktif dalam membantu memantau kes-kes ini.
“Setiap negara ada perundangan berbeza tapi apa saja bukti yang
kita dapat, kita akan serahkan, sebab kami bukan agensi yang boleh mengambil
tindakan keselamatan, kita cuma serahkan bukti.
“Baru-baru ini ada kena gantung (pemain) di Laos, Kemboja,
Thailand (pengadil), saya tak tahu perlawanan mana, mungkin tak terbabit dengan
perlawanan menentang Malaysia, tapi itu antara bukti yang SportRadar serahkan,”
katanya.
Tambahnya
pemantauan dilakukan AFC dan SportRadar bukan hanya terarah kepada perlawanan
antarabangsa skuad senior malah turut membabitkan pasukan belia serta futsal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan