KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR)
belum pasti dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, segala perancangan mengenai pelaksanaan
sistem itu buat kali pertama dalam kancah liga tempatan bergantung kepada
laporan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas Piala Dunia di Russia
pertengahan tahun ini.
Malah, beliau menjelaskan
pihaknya tiada perancangan untuk melakukan ujian terlebih dahulu terhadap
sistem berkenaan kerana faktor kos yang sangat tinggi.
"Kita akan berikan
perhatian kepada perkembangan semasa, khususnya selepas Piala Dunia.
Kebiasaannya jawatankuasa teknikal (FIFA) akan mengeluarkan laporan mereka dan
sudah tentu akan termasuk laporan berkaitan VAR.
"Bagi melakukan ujian
berkaitan kesesuaian VAR, ia memerlukan belanja yang besar sedangkan kita belum
pasti. Justeru, laporan teknikal oleh FIFA selepas Piala Dunia nanti sangat
penting untuk kita mengorak langkah seterusnya.
"Begitu juga dengan
laporan dari beberapa negara yang mengambil bahagian sebelum ini. Terdapat
beberapa laporan yang agak negatif berkaitan VAR, jadi ia memerlukan perhatian
semula yang lebih mendalam oleh FAM," katanya yang kini berada di Doha,
Qatar.
Berdasarkan perancangan
awal, FAM bercadang menggunakan VAR dalam kancah Liga M musim ini sebelum
dilaksanakan sepenuhnya tahun depan.
Namun, badan induk
berkenaan menangguhkan hasrat itu kerana enggan terburu-buru menggunakan sistem
terbabit yang jelas menelan belanja yang cukup besar dan membuat keputusan
untuk melihat terlebih dulu penggunaan sistem itu pada Piala Dunia 2018 di
Russia.
Beberapa liga di Eropah
termasuk Bundesliga di Jerman dan Liga Perdana Inggeris juga sudah menggunakan
sistem berkenaan sebagai langkah memperkemaskan keputusan pengadil.
Walaupun VAR mampu
memberikan keputusan lebih tepat, namun sistem berkenaan turut mengundang
pelbagai kritikan mengenai kelemahannya.
Antara individu yang
melontarkan kritikan termasuk pengurus Chelsea, Antonio Conte dan rakan
sejawatnya di Arsenal, Arsene Wenger yang kecewa dengan jumlah tambahan masa di
babak kedua kerana berlaku penangguhan masa permainan kerana masalah kecederaan
dan VAR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan