KUALA LUMPUR: Pertahanan naturalisasi Johor Darul Ta'zim (JDT),
La'Vere Corbin-Ong tidak perlu menunggu lama apabila hanya memerlukan satu aksi
untuk memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Cheng Hoe memberi bayangan untuk memanggil pemain kacukan
Malaysia-Barbados itu khususnya bagi aksi persahabatan pertama di bawah
kendaliannya bertemu Mongolia, 22 Mac ini selepas terpikat aksinya ketika JDT
menewaskan Kedah 2-1 pada aksi Piala Sumbangsih, malam tadi.
Beliau turut mengakui pemain berusia 26 tahun itu memiliki
kualiti yang baik dan optimis kemasukannya dalam skuad Harimau Malaya dapat
mengukuhkan lagi benteng pasukan.
"Jika dinilai daripada aksi bertemu Kedah malam tadi,
memang kita dapat lihat Corbin antara pemain yang cukup menyerlah dan memberi
sumbangan ketika bertahan dan menyerang.
"Sebelum ini, saya sudah menyelidik maklumat dan statistik
Corbin bersama pasukan terdahulu dan saya akui dia sememangnya pemain yang
berpotensi besar.
"Jadi, sudah pasti dia memiliki tempat dalam perancangan saya
bersama skuad kebangsaan selepas ini tetapi kita akan terus memantau mana-mana
pemain yang turut berpotensi untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan,"
katanya ketika dihubungi hari ini.
Corbin yang membarisi skuad kesebelasan utama JDT memperagakan
aksi yang begitu kemas apabila kerap menghalang serangan yang dilancarkan Kedah
selain turut membantu jentera serangan skuad Harimau Selatan itu.
Malah, dia membantu menghasilkan gol kemenangan JDT selepas
hantaran lintangnya berjaya ditanduk masuk seorang lagi pertahanan, Marcos
Antonio.
Sebelum menyertai JDT,
Corbin beraksi di Kelab Divisyen Dua Belanda, Go Ahead Eagles dan berjaya
menjaringkan lapan gol dalam lapan penampilan.KUALITI yang baik dimiliki pemain pertahanan JDT, La'Vere Corbin-Ong memikat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - Foto JOHOR Southern Tigers
Tiada ulasan:
Catat Ulasan