Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 4 Februari 2018

Liga M dapat tajaan RM480 juta

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Bola sepak Malaysia terus menjadi sukan No. 1 di negara ini dan terbukti apabila mendapat penajaan terbesar dalam sejarah sukan tanah air menerusi syarikat telekomunikasi gergasi negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan nilai hampir setengah bilion untuk tempoh lapan tahun.
Liga Malaysia (Liga M) telah mengikat perjanjian yang disifatkan oleh Persatuan Bola Sepak (FAM) sebagai terbesar dalam sejarah sukan tanah air apabila memeterai kerjasama bernilai RM480 juta dengan TM untuk tempoh tersebut atau RM60 juta setahun.
Pengumuman tersebut dibuat hanya seminggu selepas FMLLP mengumumkan kerjasama penyiaran dengan penyedia perkhid­matan televisyen internet, iflix yang dianggar bernilai RM100 juta selama 10 tahun.
Menurut FAM, ke­yakinan terhadap kepemimpinan presiden badan induk itu, antara yang membawa kepada perjanjian ‘mega’ tersebut, malah hak penyiaran akan diagih kepada seluruh pasukan yang bertan­ding dalam Liga Super dan juga Liga Perdana.
Jumlah hak penyiaran tersebut juga akan meningkat pada setiap tahun dan bakal menjadi hak penyiaran tertinggi pernah diraih oleh sesebuah pasukan dalam negara ini.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, perkhidmatan televisyen internet TM, unifi akan menyiarkan dua daripada enam perlawanan Liga Super pada setiap hari pertandingan, selain menyiarkan aksi Sumbangsih, Piala Malaysia, Piala FA dan beberapa perlawanan Liga Perdana. Perlawanan tersebut boleh diakses menerusi aplikasi unifi PlayTV.
“Saya amat berbesar hati dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini yang mana ia merupakan yang terbesar dalam sejarah sukan di Malaysia.
“Ini adalah bukti keyakinan TM terhadap sukan bola sepak dan Liga Malaysia merupakan pemacu komersial serta perpa­duan utama di negara ini,” kata Tunku Ismail dalam satu kenya­taan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Rama­lingam berkata, komitmen jangka panjang yang ditunjukkan TM adalah gambaran yang mencerminkan nilai serta kemampuan Liga Bola Sepak Malaysia.
“Mereka sentiasa menjadi penyokong kuat sukan bola sepak Malaysia secara amnya. Kami amat berterima kasih kepada unifi, jenama yang akan mengemudi dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong pasukan kege­maran masing-masing.
“Saya juga berharap akan lebih ramai penaja-penaja yang bakal tampil memberi penajaan untuk kita pelbagaikan selain memeriahkan lagi liga kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Liga Perdana pula kekal dikenali sebagai 100Plus Liga Perdana Malaysia di bawah perjanjian yang bermula pada musim 2016.

TUNKU ISMAIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan